KOTA BHARU: Sepasang suami isteri direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) lembam yang ditemukan berlumuran darah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok, bulan lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid ke atas pasangan suami isteri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek lelaki direman selama tujuh hari hingga Jumaat depan, manakala isterinya direman lima hari.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian lokap tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan menaiki van polis bagi permohonan reman.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pasangan berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di Kampung Padang Salim, Peringat disini semalam selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kematian Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala isterinya merupakan suri rumah.
“Pasangan ini dipercayai rakan kepada mangsa serta dua lagi suspek lelaki yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ismail Jamaludin memberitahu, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang pemuda OKU lembam di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok, bulan lalu disambung reman enam hari lagi.
Perintah lanjutan reman terhadap kedua-dua suspek berusia 25 tahun sehingga Rabu depan itu dibenarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi.
Pada 15 April lalu, seorang lelaki OKU lembam dilaporkan maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu.
Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian, dekat sini selepas bertarung nyawa lebih 17 jam.
Sebelum itu, dia ditemukan terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah di bahagian muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan kejadian pada pukul 7.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.-UTUSAN










