Senator AS setuju gantung gaji ketika penutupan kerajaan - Utusan Malaysia

Senator AS setuju gantung gaji ketika penutupan kerajaan

USUL menggantung gaji hanya terpakai kepada senator dan tidak memerlukan kelulusan daripada Dewan Perwakilan atau Presiden Donald Trump. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Senator Amerika Syarikat (AS) pada Khamis sebulat suara meluluskan langkah menggantung gaji mereka sendiri ketika penutupan kerajaan.

Langkah itu dibuat dalam usaha memastikan Kongres AS turut menanggung kesan kewangan akibat kebuntuan pembiayaan kerajaan persekutuan.

Keputusan itu dibuat susulan beberapa siri pertikaian bajet yang menyebabkan sebahagian operasi kerajaan persekutuan tergendala sepanjang lapan bulan lalu dan menjejaskan perkhidmatan awam, melambatkan pembayaran faedah serta mencetuskan kemarahan terhadap ketidakstabilan politik di Washington.

Usul berkenaan ditaja Senator daripada parti Republikan, John Kennedy. Usul itu menetapkan gaji senator akan ditahan setiap kali pembiayaan terhenti melibatkan sekurang-kurangnya satu agensi atau jabatan persekutuan.

Bagaimanapun, gaji yang ditahan itu akan dibayar semula selepas penutupan kerajaan tamat.

Usul itu hanya terpakai kepada senator dan tidak memerlukan kelulusan daripada Dewan Perwakilan atau Presiden Donald Trump.

Namun, disebabkan sekatan perlembagaan berkaitan perubahan gaji anggota Kongres, langkah tersebut hanya akan berkuat kuasa selepas pilihan raya pertengahan penggal pada November depan.

Undian itu dibuat selepas krisis pembiayaan yang luar biasa sejak Trump kembali memegang jawatan.

Kerajaan persekutuan sebelum ini mengalami penutupan selama 43 hari pada hujung tahun lalu susulan pertikaian mengenai subsidi Akta Penjagaan Mampu Milik, diikuti tahun ini dengan penutupan rekod selama 76 hari melibatkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berhubung peruntukan penguatkuasaan imigresen.

Ratusan ribu kakitangan persekutuan diarahkan bercuti tanpa gaji atau dipaksa bekerja tanpa bayaran sepanjang gangguan itu, manakala anggota Kongres terus menerima gaji mereka, keadaan yang mencetuskan kemarahan bipartisan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN