KUALA LUMPUR: Kerajaan membuka ruang kepada lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji yang berpatutan.
Hal ini setelah kerajaan menyedari hampir 50 peratus lepasan peperiksaan itu tidak menyambung pelajaran.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI) akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta untuk usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan.
“Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12,” katanya ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah.
“Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya,” katanya.-UTUSAN