Raikan sambutan Hari Malaysia di peringkat sekolah

Raikan sambutan Hari Malaysia di peringkat sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sejak Hari Malaysia diraikan bermula pada 2011, sambutan hanya diadakan di Sabah dan Sarawak tanpa membabitkan mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.

Maka, tidak hairanlah sambutan Hari Malaysia tidak diraikan oleh rakyat Malaysia yang berada di Semenanjung.

Jadi, sudah tiba masa sambutan Hari Malaysia diperluaskan di peringkat sekolah-sekolah di seluruh negara bagi menyemai kefahaman masyarakat mengenai tarikh 16 September sebagai hari penubuhan Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Online , Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan di peringkat sekolah boleh menyemai kefahaman murid di peringkat awal mengenai tarikh penubuhan Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, subjek sejarah juga perlu lebih banyak menerapkan lebih banyak fakta tentang penubuhan Persekutuan Malaysia. 

Di samping itu, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga perlu lebih ditonjolkan agar masyarakat faham mengenai signifikasi perjanjian itu terhadap penubuhan Malaysia.

“Perjanjian Malaysia sepatutnya menjadi panduan kepada tadbir urus negara kita, termasuk Perlembagaan Persekutuan. Semangat penubuhan negara ini mesti sentiasa dihormati, dipelihara, dijunjung dan dijayakan.

“Sebagai Presiden UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu), saya mahu melihat negara ini terus menjadi persekutuan yang berasaskan kepada demokrasi berparlimen yang memperlihatkan masyarakat menghormati hak Melayu dan hak Anak Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Abqaree Fawwaz Abekan berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan silibus pendidikan dalam subjek Sejarah menceritakan lebih banyak mengenai 16 September sebagai tarikh keramat pembentukan Malaysia.

“Itu sebabnya sambutan Hari Malaysia seperti tidak memberi makna mendalam kepada rakyat Malaysia di Semenanjung. Jadi, kerajaan perlu memainkan peranan lebih agresif dalam memberi kefahaman tentang tarikh 16 September ini.

“Silibus pendidikan kita lebih banyak menyentuh tentang Hari Merdeka pada tanggal 31 Ogos. Fakta-fakta penting mengenai tarikh negara ini dibentuk perlu diberitahu kepada orang ramai sejak dibangku sekolah lagi,” katanya.

Jelas beliau, pemahaman mengenai tarikh-tarikh penting seperti 16 September penting agar masyarakat tidak keliru dengan sambutan yang diadakan dengan tidak mengetahui signifikasi kepada sambutan tersebut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN