Cabaran pemilik hotel Malaysia dalam era baharu?

Cabaran pemilik hotel Malaysia dalam era baharu, hadapi tekanan kos?

INDUSTRI perhotelan tempatan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era pasca pan­demik, industri hospitaliti Malaysia terus berdepan dengan cabaran struktur yang kompleks meskipun terdapat tanda-tanda pemulihan. 

Pemilik hotel, khususnya dalam pasaran domestik yang belum matang sepenuhnya, mendapati  mereka terkepung antara peningkatan kos operasi dan kadar sewaan bilik yang tidak berubah. 

Keadaan ini mewujudkan satu ketidakseimbangan nilai pelaburan, di mana perbelanjaan meningkat tetapi pulangan semakin mengecil.

Berdasarkan data, sektor hospitaliti di Malaysia dan Asia Tenggara dijangka berkembang pada kadar tahunan 6.5 peratus dari 2025 hingga 2030. 

Namun, di sebalik unjuran yang memberangsangkan ini, pemilik hotel masih bergelut untuk mengekalkan keuntungan. 

Puncanya jelas iaitu model kewangan yang lapuk, kos operasi yang semakin meningkat, serta kekurangan ketelusan dalam perjanjian kewangan yang secara beransur-ansur menghakis pendapatan. 

Kebanyakan pemilik hotel beranggapan jenama yang kuat dan lokasi yang strategik menjamin kejayaan. 

Hakikatnya, pengurusan kewangan yang lemah, daripada kontrak yang tidak memihak kepada pemilik hingga kepada perbelanjaan yang tidak dirancang dengan baik telah menyebabkan banyak hotel ber­prestasi rendah walaupun berada di lokasi yang premium.

Oleh itu, sejauh manakah landskap pelaburan hotel di Malaysia berkembang selepas pandemik Covid-19?

Mod penglibatan yang paling biasa di Malaysia antara pemilik aset hotel dan rangkaian hotel adalah ‘kontrak pengurusan’ dan ‘perjanjian francais’. 

Susunan ini membenarkan penggunaan jenama rangkaian hotel untuk bangunan tersebut, sebagai balasan untuk bayaran tertentu kepada rangkaian hotel, tetapi mengakibatkan ketidakpastian pendapatan kepada pemilik aset hotel, pemberi pinjaman dan pelabur. 

Di beberapa pasaran hotel yang kukuh, rangkaian hotel menawarkan susunan penyewaan jangka panjang dengan pemilik aset, membenarkan mereka kepastian pendapatan untuk memenuhi komitmen kewangan mereka.

Pengarah Urusan Pragmatique Sdn. Bhd., Dr. Timmy Ho berkata, kebanyakan hotel mempunyai dana tunai atau modal operasi yang hanya mencukupi untuk dua bulan perbelanjaan. 

Katanya, apabila hotel tidak dibenarkan beroperasi semasa pandemik, aliran tunai menjadi isu yang serius.

“Tempoh penutupan hotel yang panjang dan ketidakmampuan untuk memenuhi per­belanjaan operasi atau pemilikan memaksa beberapa pemilik hotel untuk menjual hotel mereka dengan diskaun yang besar. 

“Mereka yang memperoleh atau membangunkan hotel mereka yang sudah lama tidak mungkin mengalami kerugian, manakala pemilik hotel baharu mungkin mengalami kerugian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Jelasnya, dalam beberapa situasi, pemberi pinjaman dan pemberi dana, termasuk bank dan institusi kewangan lain, terpaksa mengambil posisi ekuiti. 

“Apabila peminjam tidak dapat memenuhi komitmen hutang atau pembayaran gadai janji, pemberi pinjaman merampas hotel dan mengambil alih peranan sebagai pemilik yang tidak diingini.

“Sebelum pandemik lagi, sifat pelaburan hotel adalah kabur, operasi dalaman tidak diketahui, data perdagangan yang relevan tidak direkodkan, dengan ketiadaan ketelusan yang ketara, menjadikan hotel sebagai jenis pelaburan yang paling tidak difahami dalam kalangan hartanah komersial.

“Keadaan ini tidak berubah, dan dalam persekitaran pasca-pandemik, pemberi pinjaman dan pelabur lebih berhati-hati terhadap hotel sebagai pelaburan,” katanya. 

Ho yang merupakan pakar terkemuka dalam pengurusan aset hotel dengan lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam menstruktur semula dan memulihkan hotel yang kurang berprestasi. 

Beliau bekerja secara eksklusif untuk pemilik hotel, bukan pengendali bagi membantu mereka mendapatkan semula kawalan kewangan dan membuka nilai sebenar pelaburan mereka. 

Kepakaran beliau merangkumi penstrukturan semula kewangan, langkah penjimatan strategik, serta pembuatan keputusan berasaskan data, menjadikannya rujukan utama bagi sesiapa yang ingin memahami dan mengemudi realiti kewangan dalam pemilikan hotel.

Dari sudut positif, Timmy berkata, cabaran yang dihadapi oleh industri hotel semasa pandemik telah membawa kepada amalan yang lebih baik dalam operasi hotel, iaitu nisbah staf yang lebih cekap, penjimatan tenaga, perancangan dan pengurangan risiko, aliran pendapatan baru dan lain-lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×