Best ke Nova 160?

Best ke Nova 160?

TINGGI tempat duduk 778 milimeter meningkatkan keyakinan penunggang lebih-lebih lagi pengguna baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BANG, seronok ke naik Nova 160?” Saya disapa sedemikian oleh seorang penunggang motosikal ketika berhenti di lampu isyarat merah sewaktu menunggang uji jentera keluaran Aveta ini.

Seperti pemuda itu, ramai lagi yang tertanya-tanya pasal prestasi skuter dari China ini. Mereka membandingkan Nova 160 dengan sebuah model jenama dari negara lain. 

Kedua-duanya hampir sama reka bentuk, kapasiti enjin (cc) tapi berbeza harganya. Nova 160 lebih murah kira-kira 16 peratus (berbanding model standard pesaing). 

Mereka mahu tahu, pada harga RM7,988 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), adakah skuter pemasangan tempatan (CKD) ini lebih berbaloi dibeli berbanding pesaingnya?

Sebaik sahaja membawa Nova 160 keluar dari pekarangan pejabat pemasaran Aveta di Klang, Selangor untuk ditunggang uji, saya merasakan enjin berkapasiti 154 cc ini sudah memadai padunya. Pulas sahaja pendikit, skuter ini meluncur pantas. 

Senang cerita, tidak ragu-ragu nak memecut dengan tork 14.7 meter Newton (Nm) pada skuter ini. Nak memotong lori besar di lebuh raya pun cukup meyakinkan. Juga, pada had laju maksimum di lebuh raya, masih steady, tidak goyang.

Sepanjang 35 kilometer (km) pertama tunggangan atau kira-kira 40 minit, saya rasa cukup selesa. Tempat duduknya cukup empuk dengan reka bentuk yang menyokong pinggul sekali gus memberikan sedikit keselesaan kepada penunggang untuk perjalanan jauh atau dalam tempoh lama.

Meter digital paparan hablur cecair (LCD) yang moden pada paparan pemuka memudahkan saya untuk membaca dengan jelas odometer, aras bahan api, meter laju, rekod perjalanan. Kesemua maklumat penting ini boleh dipantau hanya dengan sepintas lalu.

Memasuki pusat bandar raya yang sibuk, di sini memang diakui ‘padang permainan’ untuk Nova 160. Dengan tinggi tempat duduk 778 milimeter (mm) dan berat 112 kilogram (kg), saya yang berketinggian 1.63 meter tidak canggung untuk mengendalikan Nova 160 di tengah-tengah kesesakan.

Tinggi tempat duduk yang ideal ini membolehkan sentuhan tapak kaki penunggang pada permukaan jalan yang lebih baik sekali gus meningkatkan keyakinan lebih-lebih lagi pengguna baharu. Ini membolehkan penunggang mengawal dengan mudah dalam kesesakan. 

Justeru, nak dijadikan Nova 160 untuk tunggangan harian dalam bandar, memanglah sangat sesuai. Ditambah ada sistem berhenti melahu (ISS) yang mematikan enjin secara automatik tatkala berhenti di lampu isyarat merah atau simpang jalan. 

Nak hidupkan semula enjin, pulas sahaja pendikit. Sistem ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan bahan api, malah mengurangkan pencemaran udara selain memberikan tunggangan yang lebih senyap serta lancar.

Sesuai sangatlah untuk kegunaan mereka yang sering berulang-alik dalam bandar selain mementingkan penjagaan alam sekitar. 

Ada pula port mengecas bas bersiri sejagat (USB) yang akan memastikan telefon pintar sentiasa berkuasa sepanjang perjalanan. Tidaklah kelam-kabut nak cari bank kuasa atau terpaksa singgah di mana-mana kafe semata-mata mahu mengecas peranti!

Ketika menunggang uji, kebetulan hujan lebat. Maka dapatlah saya uji Nova 160 pada permukaan jalan basah. 

Brek cakera depan dan belakang menyediakan kuasa membrek yang cekap dan responsif. Ini dapat menambahkan keyakinan penunggang untuk kestabilan dan keselamatan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Bagaimanapun, kalau dipasang sistem brek antikelincir (ABS) lagi bagus!

Sempat juga saya bawa Nova 160 ke Jalan Hulu Langat untuk mengujinya di laluan berselekoh. Seterusnya sambung dari Jalan Sungai Tekali menuju Empangan Semenyih yang menerima julukan Litar Antarabangsa Kuala Klawang (KKIC) Tahap 1 dalam kalangan ‘kaki leper.’

Ternyata penyerap hentakan jenis gas pada bahagian belakang skuter ini membuatkan tunggangan di laluan berselekoh pendek dan tajam lebih meyakinkan. Namun, keadaannya tidak sama pada jalan tidak rata.

Di jalan tidak rata termasuk laluan ada garisan merah melintang, ia tidak berapa berfungsi. Bergegar skuter apabila melaluinya, sakit punggung!

Lagi satu kekurangan yang saya dapati pada Nova 160 adalah suspensi bahagian depan. Ia sudah mula dikesan sebaik sahaja saya membawa keluar skuter ini dari pejabat pemasaran Aveta.

Ia boleh dirasai apabila menunggang di bawah 30 km/jam. Juga apabila memutarkan hendal ke kiri atau kanan pada kelajuan sama.

Sukar saya mahu menerangkan dari sudut teknikal, tapi senang cerita seperti kita menunggang motosikal dalam keadaan tayar depan lembik, kurang stabil. Saya sendiri tidak pasti apa puncanya.

Paling saya suka adalah kapasiti tangki bahan api yang besar, iaitu 10 liter. Kalau tidak silap inilah paling besar dalam segmen skuter berkapasiti 150 cc.

RUANG di bawah tempat duduk boleh menyimpan baju hujan, jaket atau beg galas kecil.

Untuk tangki penuh, saya dapat tunggang sejauh kira-kira 215 km. Sesuailah untuk mereka yang sering berulang-alik di dalam bandar tanpa perlu kerap mengisi petrol.

Bagaimanapun, disebabkan tangki besar sebegini, ada perkara lain perlu dikorbankan. Topi keledar kecuali jenis kura-kura tidak boleh disimpan di bawah tempat duduk kerana sudah makan ruang. 

Ada sesetengah orang beli skuter kerana mahu simpan topi keledar di bawah tempat duduk. Namun, ruang yang ada ini sudah cukup untuk mengisi baju hujan, jaket atau beg galas kecil.

Nova 160 juga dilengkapi sistem kawalan tanpa kunci yang membolehkan penunggang menghidupkan skuter dengan mudah selain meningkatkan keselamatan.

Didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu Raven Red (merah), Aveta Blue (biru) dan Copper Blaze (kelabu). Untuk pembelian boleh hubungi pengedar sah Aveta yang terdekat atau melalui laman web https://www.aveta.com.my/our-dealer/.Kalau minta pandangan saya yang sudah menunggang uji skuter ini sejauh 350 km, ia sangat sesuai untuk kegunaan di dalam bandar. Untuk mereka yang tinggal di Bangi atau Klang dan bekerja di Kuala Lumpur misalnya, Nova 160 sangat sesuai.

Praktikal, jimat bahan api, senang dikendalikan walaupun baru belajar naik motosikal. Reka bentuknya juga moden, nampak ranggi .

Lebih penting lagi, harganya berbaloi dengan ciri-ciri yang ada padanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN