TEL AVIV: Israel merayu kepada Amerika Syarikat (AS) agar menyertai kempen ketenteraannya terhadap Iran ketika ketegangan semakin buruk, namun Washington mendakwa enggan mempertimbangkan untuk terlibat dalam konflik tersebut buat masa ini.
Lapor Axios, dua pegawai Israel memaklumkan dalam tempoh 72 jam lalu, Israel mendesak pentadbiran Presiden AS, Donald Trump menyertai serangan terhadap tapak-tapak nuklear dan ketenteraan Iran.
Permintaan itu turut disahkan oleh seorang pegawai AS, namun menegaskan pentadbiran Trump pada masa ini tidak mempertimbangkan untuk menyertai konflik itu.
Menurut laporan Times of Israel, rejim itu sangat mengharapkan bantuan ketenteraan AS terutamanya untuk memusnahkan kemudahan pengayaan uranium bawah tanah Iran di Fordo, yang dipercayai melebihi kemampuan ketenteraan negara haram itu untuk melakukannya sendiri.
“Apa sahaja yang berlaku dengan serangan Israel terhadap Iran tidak dapat dielakkan.
“Namun kami mempunyai keupayaan untuk merundingkan penyelesaian damai yang berjaya untuk konflik ini jika Iran bersedia. Cara terpantas untuk Iran mencapai keamanan adalah dengan menghentikan program senjata nuklearnya,” kata seorang pegawai kanan Rumah Putih kepada Axios.
Sebelum ini, Axios turut melaporkan Trump pernah memaklumkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang AS akan mempertimbangkan untuk menyerang tapak Fordo sekiranya langkah itu dianggap perlu bagi menghalang Iran memperoleh senjata nuklear.
Namun begitu, Rumah Putih secara rasmi menafikan Trump sedang mempertimbangkan serangan ke atas Iran dan menegaskan, sekarang bukan masa yang sesuai untuk melancarkan tindakan ketenteraan.
AS bantu pertahanan udara, gerakkan sumber ke Asia Barat
Menurut pegawai di Washington, sistem pertahanan udara buatan AS termasuk sistem Patriot dan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) digunakan untuk membantu Israel memintas peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran.
Sebuah kapal pemusnah Tentera Laut AS di timur Laut Mediterranean turut menembak jatuh peluru berpandu Iran yang menuju ke Israel.
Sebagai tindak balas terhadap ketegangan ini, AS turut menggerakkan beberapa aset ketenteraan ke Asia Barat.

Kapal pemusnah USS Thomas Hudner kini sedang belayar ke timur Mediterranean dan satu lagi kapal pemusnah turut diarahkan untuk bersedia jika diperlukan oleh Rumah Putih.
Jet pejuang AS juga sedang melakukan rondaan udara untuk melindungi pasukan dan kemudahan ketenteraan AS di rantau berkenaan.
Beberapa pangkalan udara AS di Asia Barat turut dilaporkan bersiap siaga mempertingkatkan langkah keselamatan tambahan.
Penduduk terkejut
Gelombang serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran secara besar-besaran terhadap Israel pada malam Sabtu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk kanak-kanak dan mencederakan lebih 200 orang, menurut perkhidmatan kecemasan Israel (MDA).
Di kawasan tengah Israel, empat orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terbunuh akibat serangan roket dengan sekitar 100 orang lagi cedera.
Di wilayah Shfela, seramai 37 orang turut cedera dalam serangan berasingan dan polis Israel mengesahkan beberapa individu terbunuh manakala puluhan lagi cedera akibat bedilan bom di daerah pantai tengah Tel Aviv.
Di Galilea Barat, serangan peluru berpandu turut memusnahkan sebuah bangunan tiga tingkat dan mengorbankan tiga wanita.
Sebuah rumah turut terkena serangan peluru berpandu Iran dalam serangan di Haifa, menyebabkan kematian seorang wanita berusia 20-an dan mencederakan 14 yang lain.
MDA memaklumkan kepada saluran Channel 12, kira-kira 200 orang cedera sepanjang malam akibat serangan peluru berpandu Iran.
Pada malam Sabtu, penduduk Israel menggambarkan suasana panik dan ketakutan apabila beberapa peluru berpandu Iran meletup di kawasan kediaman di Tel Aviv, Ramat Gan dan Rishon Lezion.
“Bunyi letupan sangat kuat hingga bangunan kami bergegar. Kami terus masuk ke bilik keselamatan dan apabila keluar beberapa minit kemudian, ruang tamu dipenuhi asap,”kata penduduk sebuah pangsapuri tinggi di Tel Aviv, Tali Horesh kepada laman berita Ynet.
Horesh dan keluarganya kekal berlindung di bilik keselamatan selama hampir dua jam sebelum pasukan penyelamat tiba.
Ratusan anggota penyelamat dari Komando Barisan Hadapan IDF, bomba, polis, jurutera dan anjing pengesan dikerah ke lokasi-lokasi yang terjejas untuk mencari dan membantu mangsa.
Kolonel (Bersara), Michael David yang mengetuai pasukan barisan hadapan di Tel Aviv berkata, serangan kali ini adalah situasi luar biasa yang belum pernah mereka alami sebelum ini.
“Kami terlatih dan sudah menerima bantuan tambahan, tetapi tahap serangan kali ini sangat luar biasa,” katanya.










