Radzi Jidin nafi lulus projek rundingan terus cetak buku

Radzi nafi lulus projek rundingan terus cetak buku

MOHD. RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menafikan tuduhan yang tular dalam media sosial mengatakan beliau meluluskan projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah dengan rasuah melibatkan lebih RM80 juta.

Mohd. Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan menegaskan, tuduhan-tuduhan terkandung dalam dalam mesej tular tersebut yang mengaitkan beliau dan isterinya dengan percetakan buku itu adalah tidak benar.

Kata beliau, isterinya bukan seorang kerabat diraja dan tidak mempunyai apa-apa kaitan mahupun kepentingan di dalam syarikat seperti yang didakwa dalam mesej di aplikasi Whatsapp yang tular.

“Dalam tuduhan tersebut, dinyatakan bahawa isteri saya bertindak sebagai proksi, melalui suatu syarikat Bernama ATR One & Only Enterprise dan beliau merupakan seorang kerabat diraja bergelar Tengku.

“Sebagai penjelasan, saya tiada sebarang kaitan dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah sama sekali, saya dan isteri tiada sebarang kaitan dengan syarikat ATR One & Only. Perkara ini jelas kepada sesiapa yang sanggup membuat carian ke atas syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, beliau tidak pernah meminta atau menerima sebarang bentuk rasuah atau suapan daripada sesiapa pun, sama ada secara terus mahupun melalui mana-mana individu lain.

Sementara itu, Mohd. Radzi mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang bertindak atas arahan pihak atasan kerana pernyataan-pernyataan yang dibuatnya di Parlimen pada Selasa lalu.

Katanya, mesej yang tular di aplikasi Whatsapp itu adalah karut dan sedang digunakan untuk menjejaskan reputasi dan imejnya serta untuk menindas bekas pegawai beliau.

“Pihak SPRM telah menangkap bekas setiausaha politik saya, kononnya atas alasan bahawa saya terlibat dalam perkara ini dan berdasarkan suatu mesej Whatsapp karut yang tular dalam media sosial.

“Perkara-perkara seperti mesej Whatsapp karut yang tular dan berunsur fitnah jahat tidak sepatutnya dijadikan dasar penyiasatan tanpa sebarang asas kukuh, khususnya jika pernyataan tersebut dibuat oleh seseorang yang membuat tohmahan melulu secara berselindung,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya ke atas sesiapa sahaja yang mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan tersebut.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, dua individu termasuk seorang bekas setiausaha politik ditahan SPRM kerana disyaki meminta rasuah bagi meluluskan projek percetakan buku bernilai kira-kira RM80 juta membabitkan sebuah kementerian secara rundingan terus.

Kedua-duanya dipercayai ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya. – UTUSAN 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN