Pulau Pinang dapat projek istimewa ‘tanda terima kasih’ - Sanusi

Pulau Pinang dapat projek istimewa ‘tanda terima kasih’ – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kanan) melihat benih padi ketika hadir ke Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Smart SBBA LZNK di Padang Lumat, Yan, Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Pulau Pinang menerima projek istimewa sebagai tanda terima kasih kerana menyokong kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.

Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (PSP RMK12) kelmarin berhubung pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). 

“Itu projek istimewa untuk berterima kasih kepada DAP kerana sokong kerajaan. Sudah itu hakikat politik di Malaysia, tak macam negara lain, ulu (ketinggalan) sangat politik kita,” katanya selepas Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di tapak Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) LZNK, Padang Lumat, di sini hari ini. 

Dalam pembentangan PSP RMK12 kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan pembesaran LTAPP termasuk pembangunan semula Subang dan pelabuhan baharu di Pulau Carey Klang, Selangor.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoal pengumuman itu yang disifatkan sebagai diskriminasi kepada Kedah yang langsung tidak disebut dalam projek pembangunan sektor pengangkutan. 

Tambah Muhammad Sanusi, Kedah masih menaruh harapan agar Kerajaan Persekutuan meneruskan semua projek yang dirancang dalam RMK12 itu sebelum ini.  

Sementara itu, menyentuh Smart SBBA itu, kerajaan negeri yakin skim berkenaan mampu mengeluarkan petani di negeri ini daripada cengkaman kartel dan monopoli pihak tertentu dalam sektor pertanian. 

Muhammad Sanusi berkata, sistem padi kunca atau sistem pinjaman dibayar dengan hasil tuaian dikhuatiri menyebabkan petani terpaksa membayar bunga kepada tauke yang memberi hutang hingga 700 peratus.  

“Bunga atau faedah yang terlalu tinggi menyebabkan ramai orang kita jatuh miskin gara-gara berhutang. Orang lain perturun (warisi) pusaka tanah, orang kita pusaka hutang. Tanah bertukar tangan apabila dijadikan cagaran hutang,” katanya. 

Beliau menambah, di sebalik kenaikan harga beras namun golongan pesawah masih terhimpit dengan kemiskinan. 

“Inilah masalah utama yang terus memerangkap orang kita hingga terus hidup miskin walaupun kitalah yang tanam padi dan menghasilkan beras di peringkat yang paling asas,” katanya.  

Katanya, beliau pernah membangkitkan isu kartel kepada menteri berkaitan sebelum ini dan berharap kerajaan serius menangani isu terbabit. 

“Smart SBBA adalah langkah bijak yang perlu dikembangkan ke kawasan lain untuk hentikan dominasi dan manipulasi kartel padi. Inisiatif LZNK dilihat mampu memberi satu nafas baru kepada pesawah kita, sekali gus ia diharap dapat dilaksanakan di seluruh negeri.  

“Sekurang-kurangnya sudah ada jalan untuk kita keluarkan semua petani yang terkongkong pada hari ini daripada belenggu kemiskinan yang berterusan.  

“Kos-kos jentera kita turunkan. Harga benih, baja dan racun kita kawal semampu yang mungkin. Kita bagi latihan dan jadual yang betul. Kita atur sendiri bila mesin nak kutip padi. Kita sendiri yang susun kilang mana padi ini nak dihantar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN