Proses undian perwakilan Parlimen Belia dirombak 

Proses undian perwakilan Parlimen Belia dirombak 

TAN SRI JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses pengundian ahli-ahli perwakilan Parlimen Belia akan dirombak secara besar-besaran pada tahun depan untuk diuruskan oleh Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ia berikutan keputusan Kementerian Belia dan Sukan yang bersetuju menyerahkan program itu kepada pihak Parlimen.

“Parlimen Belia akan dijadikan program inkubator untuk melahirkan barisan kepimpinan generasi muda yang berketerampilan.

“Kita ingin melihat anak-anak muda yang berkebolehan, berketerampilan, berpendidikan dan mempunyai wawasan untuk sama-sama menyumbang dalam Parlimen Belia. Kita berharap Parlimen Belia akan menjadi satu lonjakan untuk belia, insya-Allah menjadi Ahli Parlimen pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama-sama Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia 2023 di sini hari ini.

Menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Johari menggesa semua pihak bersama-sama menggembleng tenaga dalam meningkatkan daya saing negara dengan mengetepikan individualisme dan bersama-sama menjiwai semangat kenegaraan.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak, Sabtu ini.

“Dalam memaknai Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, perpaduan kaum dan integrasi nasional di Malaysia wajar ditekuni melalui lima prinsip Rukun Negara dan cita-cita yang terkandung dalam tekad itu.

“Sesungguhnya, semangat kenegaraan yang terlahir daripada kesatuan dan kesepaduan rakyat akan membina negara bangsa yang ampuh serta melonjakkan kemampuan daya saing Malaysia di arena global,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN