KUALA LUMPUR: Program Aspirasi Keusahawanan Bumiputera (Mercu) 2023 di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dilancarkan bagi meneruskan misi merangsang pertumbuhan ekonomi usahawan bumiputera serta bagi kekal berdaya saing di pasaran.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mercu bukan sahaja untuk menyampaikan informasi tentang kemudahan keusahawanan yang ditawarkan Mara, tetapi, turut membuka laluan kepada usahawan bumiputera untuk meluaskan akses pasaran ke peringkat antarabangsa.
“Mara mahu memastikan usahawan-usahawan bumiputera giat aktif dan bukan sekadar menerima pembiayaan sahaja tetapi mewujudkan ‘networking’ dan ekosistem yang saling melengkapi serta tolong-menolong antara satu sama lain terutamanya usahawan yang baru bertapak bagi memacu pembangunan dan kelestarian mereka.
“Ternyata pengalaman kita dengan usahawan-usahawan yang melaksanakan program-program dalam sektor ini berjaya kekal dalam perniagaan dan mampu terus berkembang dengan lebih pesat.
“Mercu tahun ini akan membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meninjau peluang dan mengambil bahagian di dalam program keusahawanan khas yang dirangka Mara bagi memperkukuhkan daya saing mereka di pasaran tempatan dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Mercu 2023 di Hotel Premiera di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta kepada Mara bagi kemudahan pembiayaan perniagaan tahun 2023 yang menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM480 juta yang bakal memberi manfaat kepada 4,800 usahawan.
Katanya, Mara bukan menawarkan pembiayaan sahaja, terdapat mentoring, business matching serta turut memberi peluang kepada produk yang berpotensi untuk meluaskan pemasaran ke luar negara.
“Mara bukan setakat membantu usahawan PMKS, tetapi, turut mempunyai prospek profesional juga. Mara berjaya membangunkan Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) dalam bidang perubatan.
“Mara kini sedang giat membangunkan golongan profesional dalam bidang perakaunan dengan 11 outlet beroperasi di bawah jenama Kumpulan Prudence Consulting Group (PACCT),” ujarnya.
Menurut Asyraf Wajdi, Mara menambah baik dan menjenamakan skim ini sebagai ProSPEC 2.0 di mana kemudahan ini akan diperluaskan kepada usahawan profesional di bawah 15 bidang dengan peruntukan sebanyak RM20 juta tahun ini dan mensasarkan 150 usahawan.
“Hari ini juga menyaksikan penyambungan memorandum persefahaman (MoU) antara Mara dan Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang dimeterai untuk tiga tahun lagi.
“Perjanjian ini dijangka akan memberi nilai tambah kepada skop kerjasama sedia ada dengan memberi peluang kepada pelajar Institusi Pendidikan Mara (IPMA) untuk menempatkan diri di syarikat di bawah PBD,” ujarnya.
Dalam Program Pembangunan Usahawan Teknikal (ProTECH) pula, Mara membangunkan usahawan dalam bidang teknologi tinggi ProSOLAR melalui industri tenaga boleh diperbaharui (renewable energy).
Sementara itu, melalui Program Pembangunan Usahawan Teknikal Elektrik (ProPOWER), enam orang usahawan dilantik sebagai vendor yang memperolehi kontrak kerja dengan Telekom Malaysia (TM) dengan nilaian RM10 juta. -UTUSAN









