JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menahan seramai 28 warga tempatan dan juga asing menerusi tujuh serbuan berasingan yang dijalankan menerusi Op Dadu Khas seluruh negeri ini, semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu yang ditahan terdiri daripada 22 lelaki tempatan serta dua lelaki warganegara asing, selain masing-masing dua wanita warganegara tempatan dan asing.
Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 32 unit telefon bimbit pelbagai jenama; tujuh pencetak bergerak dan wang tunai berjumlah RM5,757,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya Kamarul Zaman, Op Dadu telah dijalankan pihaknya sejak Jumaat lalu dengan keseluruhan 69 premis menjalankan aktiviti itu telah diperiksa sepanjang tempoh berkenaan.
“Dalam tempoh itu, seramai 94 individu telah ditahan terdiri daripada 79 lelaki dan 15 wanita dengan 82 daripadanya mereka merupakan warganegara tempatan manakala 12 warganegara asing.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 19 sehingga 66 tahun. Turut dirampas dalam tempoh tersebut adalah 99 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 30 mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM15,398.
“Sementara itu, semua premis yang diserbu sedang dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik. Kita hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.
Kamarul Zaman turut memberitahu, kesemua tangkapan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(A)(a) dan 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Operasi ini bertujuan membanteras kegiatan judi haram selain meningkatkan keyakinan kepada masyarakat dengan usaha-usaha dilaksanakan polis.
“Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan tersebut boleh menghubungi bilik gerakan polis Johor menerusi talian 07-2212999 atau 07-225 4677,” jelasnya.










