PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR menggesa Kerajaan Persekutuan segera melaksanakan pemisahan kuasa di antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan di negara ini.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata, entiti berkenaan harus dipisahkan kerana selagi kedua-duanya melakukan tugas berbeza dalam satu jawatan sama, ia dikhuatiri menimbulkan kesangsian banyak pihak.
Katanya, contoh paling dekat adalah bagaimana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Ini selepas mahkamah meluluskan permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwaan ketika kes sedang berada di peringkat bela diri.
Untuk rekod, Peguam Negara mempunyai kuasa di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memberhentikan pendakwaan walaupun sebelum keputusan diumumkan.
“Kerajaan perlu segerakan reformasi terhadap peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang terletak pada individu sama. Ia perlu dipisahkan supaya keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan semakin meningkat.
“Melalui langkah ini, tiada lagi perdebatan serta kesangsian bahawa kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selepas 77 hari dibicara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya.
Pada Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menjelaskan kerajaan akan menjalankan kajian empirikal komprehensif dalam tempoh setahun sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa di antara peguam negara dan pendakwa raya.
Bagi tujuan berkenaan, kira-kira 19 undang-undang sedia ada serta Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. – UTUSAN










