JERANTUT: Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, 50, merupakan tokoh pemimpin disenangi dan sesuai dengan pelbagai peringkat usia khususnya golongan anak muda yang mampu mencorakkan pembangunan di kawasan itu.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, Amizar selaku Ahli Jawatan Kuasa UMNO Bentong mempunyai pengalaman dalam pilihan raya apabila pernah menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu mampu mencongak strategi yang berkesan memenangi hati pengundi di Pelangai berasaskan beliau tidak asing lagi dalam kalangan penduduk kerana berasal dari Felda Chemomoi.
“UMNO Jerantut tidak gusar lagi dengan pemilihan Amizar lagipun perkara berkenaan sudah diteliti oleh Badan Perhubungan UMNO negeri dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi pelbagai sudut serta pandangan bernas rakan UMNO Bentong.
“Pemilihan Amizar telah diputuskan oleh kepimpinan parti. UMNO telah menentukan calon yang sesuai untuk menyambung tugas daripada kepimpinan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan dikira boleh memberikan khidmat yang terbaik buat penduduk DUN Pelangai,” katanya selepas menghadiri Karnival Tanah Pahang peringkat daerah di sini hari ini.
Menurut Haris Salleh, ahli UMNO sangat diharap untuk menyokong tanpa berbelah bahagi walaupun sebilangannya sebelum ini ada pilihan calon yang disukai, tetapi hakikatnya Bahagian Perhubungan UMNO Pahang perlu ‘seorang’ sahaja antara yang terbaik mempunyai serba lengkap aspek personaliti, pengetahuan, pengalaman dan sebagainya untuk dipertaruhkan dalam pertandingan itu nanti.
Amizar yang juga Bendahari Agung Kami Anak Felda (KAF) dipilih sebagai calon PRK Pelangai telah diumumkan oleh Wan Rosdy di Bentong malam semalam.
Berkenaan calon yang bakal berdepan dengan Amizar yang sudah pun diumumkan oleh Perikatan Nasional, iaitu bekas guru, Kasim Samat, 62, disifatkan merupakan pertandingan yang terbaik secara sihat akan difokus oleh ramai pemerhati politik kerana keduanya benar teruji ketokohan serta kepimpinan setelah masing-masing mempunyai rekod pernah tewas dalam PRU-15 lalu.
“Hal ini diperkuatkan kedua calon ini merupakan anak Felda Chemomoi sudah tentu dikenali ramai mempunyai gaya kepimpinan yang sudah dibuktikan menerusi kegiatan parti masing-masing serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mereka wakili,” katanya.
Haris Salleh yang juga pengamal undang-undang selanjutnya berkata, UMNO Jerantut bersama UMNO Maran yang diamanahkan selaku Bahagian Angkat bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kemasul telah bersiap siaga dengan strategi yang akan digerakkan waktu berkempen selepas hari penamaan calon pada 23 September ini.
“Kami (UMNO) Jerantut rata-rata dibarisi oleh orang muda yang berlatarbelakangkan golongan profesional dan kerjaya memberikan sedikit kelebihan dalam usaha mendekati pengundi muda.
“Kita amat yakin berasaskan pengalamannya, Amizar mampu meneruskan legasi Johari serta memenuhi aspirasi Menteri Besar dan kerajaan negeri dalam usaha merancakkan pembangunan Pelangai sekali gus keutamaan kebajikan penduduk pelbagai kaum di situ,” katanya.
Ujarnya, pengundi di DUN Pelangai wajar memilih Amizar sebagai wakil rakyat BN dan mengenepikan atau melupakan perkara remeh-temeh dan titik-bengik yang menjadi halwa kempen pembangkang sehingga hari mengundi pada 7 Oktober ini. -UTUSAN










