PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.
Tarikh tersebut dimaklumkan oleh peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selaku pemerhati dalam pendengaran petisyen itu.
Menurut Yusfarizal, panel bersidang akan mendengar penghujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam prosiding berkenaan.
Ia terdiri daripada Sisters In Islam (SIS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Petisyen tersebut difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.
Petisyen itu didengar oleh panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.
Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Pada prosiding terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen bahawa 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.
Beliau menghujahkan, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang jenayah tersebut kerana ia bidang kuasa Parlimen.
Antaranya termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).
Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif berhujah, peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta sah untuk dikuatkuasakan.
Hujah beliau, peruntukan yang dicabar itu merupakan undang-undang mengenai kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.
Beliau turut memohon mahkamah mengkaji semula penghakiman kes Iki Putra Mubarrak berhubung isu serupa atas alasan beberapa bahagian dalam penghakiman Iki Putra disifatkan tidak boleh dikekalkan.
Pada 25 Februari 2021, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii. -UTUSAN










