Pesara tentera manfaat bakat melukis tambah pendapatan - Utusan Malaysia

Pesara tentera manfaat bakat melukis tambah pendapatan

RIDZWAN Abdul Wahab menunjukkan koleksi lukisan potret wajah Perdana Menteri di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pesara tentera memanfaatkan kemahiran melukis potret untuk mencari pendapatan tambahan tanpa terlalu bergantung kepada wang pencen sejak 10 tahun lalu.

Ridzwan Abdul Wahab, 44, berkata, sepanjang tempoh itu dia telah menghasilkan lebih 1,500 lukisan dan potret terma­suk 10 Perdana Menteri.

“Sejak lima tahun lalu saya mula melukis potret wajah Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman dan yang lain sebagai koleksi peribadi.

“Saya berbangga dapat menghasilkan potret pemimpin negara kerana jasa serta pengorbanan mereka tidak terbalas,” katanya ketika ditemui di Kampung Bertam Baru di sini semalam.

Ridzwan memberitahu, tempoh menyiapkan sebuah lukisan bukan hanya bergantung kepada saiz tetapi kepada jenis bahan atau warna yang digunakan.

Katanya, satu lukisan hitam putih biasanya dapat disiapkan dalam masa sehari, namun bagi lukisan berwarna mengambil masa beberapa hari.

“Saya mengambil upah RM50 untuk lukisan hitam putih dan antara RM100 sehingga RM200 bagi lukisan berwarna.

“Saya hanya menjual lukisan dan bukanlah seni. Jika mahal itu adalah harga untuk bingkai yang digunakan kerana saiznya yang besar dan ukirannya cantik,” katanya.

Ridzwan berkata, dia menggunakan media sosial sebagai platform pemasaran.

“Mereka yang berminat melihat hasil tangan saya boleh mengikutinya di Tiktok iaitu ‘@sarjanwan576’ dan Facebook ‘Ridzwan Wahab’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN