Perkemas dahulu sistem pengairan padi

Perkemas dahulu sistem pengairan padi

BEBERAPA pesawah melihat hasil padi dipindahkan daripada mesin ke lori sebelum dibawa ke pusat jualan padi di Kampung Alor Redis, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Masalah infrastruktur khususnya berkaitan sistem pengairan perlu diperkemaskan terlebih dahulu sebelum usaha ke arah penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun dilaksanakan di negeri ini.

Meskipun kaedah tersebut dilihat mampu meningkatkan produktiviti penanaman padi selain mampu meningkatkan hasil beras negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import beras, beberapa aspek asas itu perlu diselesaikan terlebih dahulu khususnya di kebanyakan kawasan negeri ini.

Hal demikian kerana masalah sistem pengairan di kebanyakan kawasan penanaman padi di negeri ini masih dalam keadaan tidak teratur sekali gus menyukarkan para pesawah dalam mengikut jadual penanaman dengan sebaik-sebaiknya selain berdepan masalah atau kesan apabila musim menuai.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, jika sistem pengairan baik tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun itu boleh dilaksanakan.

Dalam masa sama, katanya, hasil kebanyakan pesawah pula hanya sekitar empat ke tujuh tan metrik perhektar itu pun sangat-sangat sukar untuk diperoleh.

“Kalau hendak laksanakan juga (penanaman padi lima kali dua tahun) soal infra kena eloklah, ini peruntukkan untuk bersihkan parit atau sungai yang menyalurkan air keluar masuk daripada sawah juga semakin berkurangan daripada empat kepada dua kali setahun.

“Pelaksanaan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun memerlukan persediaan rapi khususnya dalam aspek sistem pengairan yang kemas, penglibatan pesawah serta kajian berkaitan tanah supaya tidak menimbulkan masalah kelak,” katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan, ketika dunia berdepan kenaikan harga beras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, rakyat boleh menarik nafas lega apabila usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran padi melalui sistem penanaman lima kali dalam tempoh dua tahun membuahkan hasil.

Projek perintis yang dilaksanakan di Perlis dan Kedah bukan sahaja berjaya menambah pusingan penanaman padi tetapi juga dapat meningkat hasil bagi setiap hektar daripada sekitar empat hingga lima tan sehektar sebelum ini kepada kira-kira 10 tan sehektar.

Sebagai rekod, keluasan kawasan tanaman padi di seluruh negeri ini ialah 29,200,72 hektar membabitkan 19,034,53 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 10,166,16 hektar di luar kawasan MADA dengan keseluruhan pesawah 17,930 orang.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd Noor Hashim,60, berkata, penanaman padi banyak bergantung kepada sistem pengairan yang baik.

Katanya, pada masa ini, penanaman padi setahun dua kali juga agak sukar apatah lagi lima kali dalam tempoh dua tahun.

“Infra perlu diperkemaskan dahulu khususnya berkaitan sistem pengairan barulah pelaksanaan penanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun boleh berjalan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN