GEORGE TOWN: Peniaga di sini menyifatkan perkhidmatan transaksi baharu menerusi aplikasi QR DuitNow bermula 1 November ini bakal menambah kos operasi dan beban kewangan.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya bimbang surcaj serta komisyen tersebut akan diterjemah kepada pelanggan dengan kenaikan harga makanan dan minuman.
Katanya, kerajaan sepatutnya bertindak mengurangkan sebarang bentuk caj; surcaj atau komisyen.
”Peralihan kepada sebarang bentuk kewangan secara digital adalah untuk memudahkan transaksi antara pelanggan dan peniaga serta mengurangkan penggunaan masa, tenaga dan kerja sejajar dengan aliran dunia ke era digital.
”Namun, usaha tersebut bukan satu peluang mengaut keuntungan yang berlebihan oleh bank dan institusi kewangan, perkara ini adalah tidak wajar berlaku,” katanya semalam.
Media semalam melaporkan caj transaksi urus niaga DuitNow QR akan berkuat kuasa di semua bank mulai 1 November ini.
Turut dilaporkan jumlah bayaran yang dikenakan ke atas akaun peniaga apabila menerima bayaran melalui DuitNow akan berbeza-beza berdasarkan cara pemindahan.
Sebelum ini, tiada caj dikenakan bagi urus niaga DuitNow QR di bawah RM5,000 manakala caj 50 sen hanya dikenakan untuk transaksi melebihi RM5,000.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar), Abdul Alim Abdul Hassan berkata, dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini, caj transaksi tersebut membebankan lagi kos operasi.
”Kami tidak bersetuju dengan caj transaksi yang bakal dikenakan. Dalam keadaan ekonomi sekarang yang mana kos operasi makin meningkat, tindakan ini adalah sesuatu yang bakal menyebabkan harga barangan meningkat,” katanya.
Katanya, kini peniaga dibebankan dengan pelbagai kenaikan bahan mentah, utiliti, sewa, gaji dan sebagainya, justeru adalah tidak wajar serta tidak sesuai untuk mengenakan caj berkenaan buat masa ini.
”Tindakan ini juga bakal menyebabkan kenaikan harga barangan pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, wakil Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, kerajaan sepatutnya campur tangan supaya bank-bank tidak mengenakan sebarang bentuk caj atau komisyen bagi penggunaan transaksi baharu menerusi aplikasi QR DuitNow. – UTUSAN











