KUCHING: Pengguna teknologi digital kini perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan maklumat keselamatan siber bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah dalam bidang itu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, selain itu, rakyat Malaysia digesa sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila menggunakan teknologi dan internet.
“Isu keselamatan siber merupakan isu kritikal yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak dan menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh kerajaan, pertubuhan swasta dan industri, persatuan dan badan bukan kerajaan termasuk pengguna sendiri.
“Jika anda menjadi mangsa jenayah siber, tampil ke hadapan dan buat laporan kerana melalui laporan itu ia akan membantu pihak berkuasa menganalisis trend jenayah dan merangka program untuk langkah pencegahan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Muzium Budaya Borneo (BCM), di sini hari ini.
Tambah Fahmi, kementerian menerusi agensinya seperti CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini giat melaksanakan pelbagai pendekatan untuk menangani ancaman siber serta jenayah khususnya penipuan dalam talian.
“Program kesedaran pencegahan jenayah siber diadakan melalui pelbagai kaedah seperti kempen dan ceramah, pameran dan jerayawara, penerbitan buku dan artikel dalam majalah serta penerbitan telefilem dan drama untuk memperkasakan pengguna Internet dan menggalakkan penggunaan Internet secara positif.
“Bagi membendung jenayah penipuan dan penipuan dalam talian, kerajaan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat panggilan yang menerima laporan dan membantu menyekat aliran wang mangsa.
“Mana-mana mangsa penipuan boleh menghubungi talian NSRC – 997 yang beroperasi setiap hari untuk melaporkan jenayah terbabit.
“Talian itu tersedia dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dan kami cuba memanjangkannya, tetapi pada masa yang sama kami cuba memudahkan orang ramai melaporkan.
“Tetapi bahagian yang paling penting ialah, jika ia berlaku (penipuan), segera hubungi 997. Lebih cepat kami boleh menutup transaksi, lebih cepat kami boleh memulangkan wang anda,” jelasnya.
Mengenai jelajah program berkenaan, Fahmi berkata, ia diadakan sebagai inisiatif untuk terus memberi maklumat serta memupuk kesedaran pengguna Internet tentang penipuan dan jenayah penipuan dalam talian.
Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 bermula pada 18 Februari lalu di negeri Selangor dan Kuala Lumpur serta pada 20 Mei lalu di Perlis.
Antara pengisian siri penjelajahan ini ialah forum dan dialog anti-scam yang melibatkan pakar-pakar keselamatan siber serta pameran oleh ahli-ahli GBAS dan rakan-rakan strategik program ini.
“Memandangkan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penipuan, program ini menyasarkan semua pengguna Internet di Malaysia terdiri daripada remaja, belia, ibu bapa, kakitangan awam dan swasta, warga emas, orang kurang upaya dan lain-lain,” katanya.
Selain Sarawak, program ini akan turut diadakan di Kelantan, Sabah, Johor dan dijangka berakhir di Putrajaya.
Menerusi platform ini, ahli-ahli panel akan berkongsi maklumat berkaitan senario atau landskap keselamatan siber semasa; jenis-jenis ancaman dan serangan siber terkini; jenis-jenis scam; modus operandi pelbagai ancaman scam serta amalan terbaik dan kaedah bagi menghindari daripada menjadi mangsa scam.-UTUSAN










