Penduduk D'Aman Residensi resah kehadiran warga asing

Penduduk D’Aman Residensi resah kehadiran warga asing

MOHD. Fazli (empat dari kanan) bersama penduduk menunjukkan laporan polis dan surat kelulusan penempatan warga asing yang dipalsukan dalam sidang akhbar di D'Aman Residensi di Halaman Meru Aman, Meru, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kehadiran warga asing menduduki pangsapuri mampu milik, D’Aman Residensi di Halaman Meru Aman, Meru di sini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Penduduk mendakwa, kehadiran warga asing yang bekerja di sebuah kilang di Jelapang sejak lebih tiga tahun lalu itu, menyebabkan kawasan berkenaan kotor selain berasa tidak selamat terutama untuk wanita dan kanak-kanak.

Seorang penduduk, Mohammad Shafique Mohammed Hatta, 38, berkata, seramai 164 warga asing dari Nepal, Indonesia dan Myanmar mendiami 26 unit rumah yang dijadikan hostel pekerja di perumahan berkenaan.

Katanya, bilangan yang semakin bertambah itu menyebabkan penduduk berasa tidak selesa tambahan lagi ada dalam kalangan warga asing bersikap biadap apabila minum minuman keras secara terbuka.

“Sebagai penghuni di sini, kami gusarkan keselamatan anak-anak yang bermain di taman permainan. Kami bimbang jika ada daripada mereka yang berniat jahat dan melakukan sesuatu yang tidak baik.

“Selain itu, kebanjiran warga asing juga menyebabkan penghuni wanita berasa tidak selamat tambahan lagi bagi yang tinggal seorang diri,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar di D’Aman Residensi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Yusparina Md. Yusoff, 43, berkata, dia kesal apabila kebanyakan warga asing mengabaikan aspek kebersihan dengan membuang sampah merata-rata hingga kawasan sekitar kotor.

“Kami rasa tidak selesa sebab mereka ini tidak jaga kebersihan. Sekitar kaki lima dan tangga rumah kotor dengan air sampah dan air ludah sireh.

“Pergaulan bebas antara mereka juga amat membimbangkan hingga ramai yang takut untuk bawa anak-anak beriadah di taman permainan,” katanya.

Bagi pesara, Mohd. Ali Osman, 63, penduduk di perumahan itu menentang kediaman tersebut dijadikan hostel pekerja kerana ia bertentangan dengan peraturan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) Halaman Meru Aman dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kehadiran warga asing ini mengejutkan kami. Sejak mereka tinggal di sini, suasana tidak lagi harmoni kerana ada yang mencetuskan masalah termasuk bergaduh sesama sendiri.

“Keadaan ini sudah tentu menggusarkan penduduk. Sebab itu, kita minta pihak bertanggungjawab untuk ambil tindakan segera bagi menangani isu ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JMB Halaman Meru Aman, Mohd. Fazli Othman berkata, aduan mengenai sikap warga asing itu telah diajukan kepada sebuah agensi yang menguruskan penginapan warga asing berkenaan, namun tidak diendahkan.

Malah Katanya, tiada sebarang lawatan mahupun pemantauan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke D’Aman Residensi meskipun aduan telah dibuat.

“Agensi yang menguruskan penempatan warga asing ini telah mendapatkan kebenaran daripada JTK sejak tahun 2021 namun kelulusan itu dibuat tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JMB.

“Malah, baru-baru ini, kami dapati, agensi itu memalsukan surat kelulusan JMB bagi penempatan lima unit rumah sebagai hostel pekerja warga asing.

“Kami telah berunding dengan agensi itu berkaitan pemalsuan dokumen tersebut, namun tiada sebarang pengakuan dibuat,” katanya.  UTUSAN

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN