PETALING JAYA: Niat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya jawatan Ketua Pembangkang diisi dan digantikan segera dipersoalkan sedangkan dunia berdepan krisis akibat konflik di Asia Barat.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sebagai Ketua Pembangkang sebelum ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjalankan tugasnya dengan baik termasuk menggesa kerajaan mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membincangkan kesan krisis di Asia Barat terhadap Malaysia.
Katanya, Sidang Khas Dewan Rakyat penting untuk diadakan bagi membincang dan membahaskan isu-isu berbangkit termasuk kos sara hidup dan keselamatan.
“Sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menggesa kerajaan untuk mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat, tujuannya adalah untuk membincangkan, membahaskan dan mencari cara-cara untuk menangani kesan perang Teluk yang berpanjangan.
“Apa kesannya terhadap harga minyak, inflasi barangan, makanan dan keterjaminan makanan serta apa kesannya kepada keselamatan kita, contohnya Selat Melaka,” katanya dalam video ringkas yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
Bagaimanapun, dalam video sama, beliau yang juga bekas ahli Bersatu mempersoalkan niat Muhyiddin yang dilaporkan beberapa kali mendesak supaya jawatan Ketua Pembangkang diganti dan sekarang diisi dengan kadar segera.
“Tetapi Muhyiddin lebih berminat untuk mendesak supaya Ketua Pembangkang diganti dan sekarang diisi dengan secepat mungkin. Apa tujuannya?,” soalnya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sekali lagi mendesak supaya Pas mempercepatkan pelantikan Ketua Pembangkang bagi menggantikan Hamzah yang meletakkan jawatan itu pada 11 April lalu.
Muhyiddin berkata, keputusan untuk mencadangkan nama seorang Ahli Parlimen Pas bagi menyandang jawatan itu sudah dipersetujui dalam Mesyuarat Tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“Jadi sebagaimana yang saya sebutkan dahulu, kita minta ia disegerakan. Kita tunggu bila Pas sudah memilih dan nama itu akan terima untuk dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat maka jawatan itu (Ketua Pembangkang) akan dipenuhkan oleh PN,” katanya. – UTUSAN











