PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati para pempengaruh media sosial supaya mengambil sikap tidak berlebihan dalam mempamerkan sesuatu produk atau makanan yang tidak sihat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ini kerana remaja dan kanak-kanak masa kini dilihat lebih tertarik untuk mencuba makanan ‘trendy’ seperti dipaparkan di media sosial yang jelas mempunyai kandungan gula sangat tinggi.
“Kita boleh lihat remaja dan kanak-kanak lebih tertarik kepada makanan yang ‘trendy’.
“Oleh itu, saya ingin menasihati pempengaruh di media sosial supaya jangan terlalu berlebihan dalam mempamerkan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.
Beliau memberikan contoh video di TikTok yang minum susu pekat manis dan air balang bersaiz besar yang jelas merupakan salah satu penyumbang kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).
Terdahulu menerusi ucapannya, Lukanisman berkata, peningkatan pesakit kanser dalam kalangan penduduk Malaysia membimbangkan kerana ia tertumpu kepada individu yang berusia lebih muda.
Jelasnya, kanser turut menjadi penyumbang kedua kematian pramatang dengan 14.2 peratus pada tahun 2017.
“Dalam erti kata lain, kanser adalah antara penyebab utama kematian kepada golongan dalam kategori umur produktif iaitu bermula seawal umur 15 sehingga 49 tahun.
“Ini sekali gus menyebabkan negara akan terus mengalami kerugian dari segi modal insan dan secara tidak langsung menyebabkan trauma berpanjangan kepada ahli keluarga pesakit kanser kerana kehilangan tempat bergantung,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kajian menunjukkan 30 hingga 50 peratus kanser boleh dicegah dengan pembudayaan hidup sihat, namun dianggarkan 98 peratus penduduk di dewasa di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kanser.
Ini seperti tabiat tidak cergas, penggunaan tembakau, pengambilan alkohol yang memudaratkan dan pemakanan tidak sihat.
“Menjelang 2030, 15 peratus daripada penduduk Malaysia dijangka berusia lebih 65 tahun menjadikan negara kita sebagai sebuah negara tua. Justeru, tidak hairanlah sekiranya data insiden kanser dari 2007 hingga 2018 menunjukkan bilangan kanser yang terus meningkat saban tahun.
“Ini dirumitkan lagi apabila kebanyakan kanser dikesan di tahap yang lebih lewat, selain pencegahan, diagnosa awal dan rawatan yang berkesan dilaporkan dapat mengelakkan 44.4 peratus kematian akibat daripada kanser,” katanya. – UTUSAN










