KUALA LUMPUR: Beberapa laporan polis dibuat pemimpin politik bagi mendesak supaya pendakwaan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diteruskan semula.
Laporan itu antara lain dikatakan bagi menggesa supaya siasatan dilakukan ke atas kerajaan yang didakwa melakukan salah guna kuasa kerana menghentikan prosiding membabitkan Ahmad Zahid.
Laporan polis berkenaan dibuat Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris; Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Kesemua mereka tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada pukul 2.30 petang tadi.
Terdahulu, lebih 1,000 peserta dilihat sudah berkumpul di hadapan pusat beli belah Sogo selain terdapat beberapa pemimpin politik berucap sambil melaungkan slogan ‘dakwa Ahmad Zahid.’
Mereka turut mendesak kerajaan segera mengatasi lonjakan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.-UTUSAN










