Pembebasan saya tiada kena mengena dengan keputusan Ahmad

Pembebasan saya tiada kena mengena dengan keputusan Ahmad Zahid -Bung Moktar

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan,  pembebasan beliau tiada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Isnin lalu yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menjelaskan, sukar untuk beliau menolak tanggapan dan persepsi masyarakat berhubung pembebasan beliau hari ini dengan keputusan terhadap Presiden UMNO.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu tidak menafikan bahawa pendakwaan terhadap beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad menjurus ke arah motif politik.
“Mahkamah mengadili kes ini sebaik mungkin.  Perjuangan barisan peguam yang mewakili saya dan isteri selama lima tahun, dilakukan demi mencapai keadilan.
“Saya bersyukur kerana mahkamah sudah membebaskan kami.  Terima kasih kepada pasukan peguam serta semua yang mendoakan kami di seluruh negara, semoga Allah membalas budi baik mereka,” ujarnya yang kelihatan terkejut dengan keputusan itu.
Bung Moktar, 66, bersama Zizie Izette, 46, ditemui wakil media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejurus selepas pembebasan mereka daripada tiga pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepaskan dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada ketiga-tiga pertuduhan selepas membenarkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How manakala peguam-peguam M. M. Athimulan, Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri mewakili Bung Moktar dan isteri.
Prosiding bela diri yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Rozina Ayob bermula 23 September 2022, ditangguhkan beberapa kali ekoran permohonan semakan di Mahkamah Tinggi.
Pada awalnya, Hakim Azhar pada 9 Disember 2022 menolak permohonan semakan Bung Moktar dan Zizie Izette selepas membenarkan bantahan awal pendakwaan.
Bagaimanapun, pada 7 Julai lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara menghantar balik permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.
Mahkamah berpuas hati, Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat jika terdapat keperluan berbuat demikian sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.-UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN