BENTONG: Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk menyuarakan soal pembangunan dan kebajikan penduduk Pelangai jika parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7 Oktober ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbezaan kerajaan negeri dikuasai BN dengan wakil rakyat pembangkang akan menyukarkan calon Perikatan Nasional (PN) melakukan perubahan jika diberikan laluan kemenangan dalam pilihan raya itu.
Katanya, justeru itu para pengundi perlu memberi peluang semula kepada calon BN agar dapat meneruskan semula perancangan sebelum ini di samping mempermudahkan suara mereka dapat diketengahkan kepada kerajaan.
“Tadi dengar satu aduan berkenaan satu projek yang diluluskan tetapi dibatalkan.Tetapi dengan adanya ADUN BN, kita boleh menyuarakan kembali. Itu kelebihan kepada BN kerana boleh bawa terus pembangunan kepada rakyat.
“Jika pembangkang menang, mereka tidak mampu buat, jadi kena pandai pilih walaupun dua calon daripada kampung sama, tetapi siapa boleh bantu rakyat sama ada BN atau lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas turun berkempen di Felda Chemomoi di sini semalam.
Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ketua Bahagian UMNO Bera berkata, BN perlu bekerja keras jika mahu menang kerusi Parlimen Kemaman jika PRK diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, PN memiliki kelebihan di Kemaman berbanding BN kerana Kemaman terletak di bawah Kerajaan Negeri Terengganu yang dikuasai Pas.
Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Menurut Ahmad, petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu. – UTUSAN










