PASIR PUTEH: Pelajar sekolah maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah trak pikap dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Jelor-Wakaf Bunut, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 2.40 petang itu, mangsa, Wan Mohd. Faris Samsudin,16, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah manakala Wan Mohd. Adib Arfan, 13, yang membonceng hanya mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa dari arah Wakaf Bunut menghala ke Jelor.
Menurutnya, setiba di lokasi, motosikal yang ditunggang mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan trak pikap berkenaan.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa adalah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, Bachok manakala adiknya adalah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Ulum, Kolam, Bachok.
“Mayat Wan Mohd. Faris di hantar ke unit forensik HTA untuk tindakan lanjut dan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zairul Rizal berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu bagi menyelesaikan siasat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-9386224. –UTUSAN










