Pelabur warga asing rugi RM8 juta ditipu rakan perniagaan - Utusan Malaysia

Pelabur warga asing rugi RM8 juta ditipu rakan perniagaan

POLIS memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek bagi membantu siasatan melibatkan kes pecah amanah dan pemalsuan dokumen. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pelabur warga asing kerugian sebanyak RM8 juta selepas dipercayai diperdaya oleh rakan perniagaannya yang merupakan seorang pengarah sebuah syarikat ditubuhkan di Malaysia.

Perniagaan yang diusahakan pihak terlibat adalah membabitkan sektor pengilangan bagi memproses serbuk ikan dan vitamin untuk pasaran tempatan dan luar negara yang beralamat di Kuala Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek terlibat didakwa telah mengambil kesempatan ketika sekatan perjalanan dikuatkuasakan sewaktu pandemik Covid-19 apabila disyaki melakukan jenayah pecah amanah dan pemalsuan dokumen dengan menjual empat lot tanah milik syarikat itu di Kuala Perlis kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan mangsa yang berada di negara asalnya sewaktu kejadian.

“Sehubungan itu, polis telah melancarkan Ops Pekaka bagi mengesan semua pihak terlibat termasuk peguam dan pembeli di beberapa negeri utara tanah air dan sekitar Lembah Klang yang mana mereka dipercayai turut diperdaya oleh suspek.

“Langkah awal turut diambil dengan memasukkan kaveat ke atas semua tanah-tanah milik syarikat mangsa berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yusharifuddin berkata, pihaknya juga turut menahan reman seorang lelaki yang merupakan seorang setiausaha syarikat bagi membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 409/471 Kanun Keseksaan.

Katanya, seorang lagi lelaki warga tempatan dikenali sebagai Yong Kok Wah, 47, beralamat di Taman Seri Kota Fasa 4, Alor Setar, Kedah, yang merupakan suspek utama kes tersebut juga masih sedang dikesan.

“Polis menggesa orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat berkaitan suspek agar dapat berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Wan Amirul Syafiq Wan Yazid di talian 010-524 8936 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Yusharifuddin berkata, terdapat peningkatan terhadap kes penipuan yang membabitkan modus operandi phone scam di mana kebanyakan mangsa merupakan pelajar dan peniaga melibatkan kerugian mencecah RM188,000.

Tambahnya, orang ramai dinasihati agar tidak mudah panik dan percaya dengan sebarang panggilan telefon mencurigakan serta membuat semakan terlebih dahulu.

“Masyarakat awam boleh membuat rujukan berkaitan jenayah komersil menggunakan perkhidmatan National Scam Response Center (NSRC) di tian 997 atua menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di talian 04-9872222 dan hotline IPD Kangar 04-9082222,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya