Wanita warga asing cuba ceroboh pintu pelepasan KLIA tanpa tiket

Wanita warga asing cuba ceroboh pintu pelepasan KLIA tanpa tiket

POLIS mengawal wanita warga asing cuba ceroboh pintu pelepasan KLIA tanpa tiket.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang wanita warga China ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk ke kawasan keselamatan di Pintu Pelepasan Antarabangsa C, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.35 tengah hari apabila suspek dipercayai melepasi pintu autogate pemeriksaan keselamatan tanpa memiliki tiket penerbangan.

Beliau berkata, wanita terbabit kemudian bertindak agresif ketika cuba diperiksa oleh petugas keselamatan di pintu pelepasan antarabangsa berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KLIA kira-kira pukul 1.45 tengah hari pada hari sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati wanita terbabit memasuki negara ini pada 30 April lalu untuk bercuti bersama rakannya.

Bagaimanapun, Ravi berkata, suspek dipercayai tidak mempunyai wang untuk membeli tiket penerbangan pulang ke negara asal.

Tambah beliau, suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan dibenarkan direman selama satu hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan supaya mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak melakukan tindakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam khususnya di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN