PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun timbul ura-ura mengatakan ada perubahan dalam majlis pimpinan tertinggi parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tiada perubahan yang akan berlaku bagi jawatan Presiden parti itu.
“Desakan daripada luar adalah perkara biasa tetapi Muhyiddin kekal menjadi Presiden kami.
“Melainkan ada desakan dari dalam parti untuk beliau meletak jawatan dan memberi laluan kepada orang lain seperti (Presiden UMNO, Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi yang mana majlis tertinggi pastinya mendesak beliau meletak jawatan.
“Kita masih memerlukan Muhyiddin memimpin Bersatu buat masa sekarang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam keadaan ekonomi negara ketika ini yang berada dalam pasca Covid-19,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin antara pemimpin yang disebut-sebut sebagai pencabar utama jawatan tertinggi parti itu sekiranya Muhyiddin selaku Presiden memutuskan tidak bertanding pada pemilihan parti itu yang akan datang.
Razali berkata, Bersatu akan mengekalkan momentum orang muda pada PRU16 yang mana Perikatan Nasional (PN) dilihat kekal sebagai kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu. – UTUSAN