Muda Sabah bidas dakwaan Syed Saddiq bahawa DAP orang

Muda Sabah bidas dakwaan Syed Saddiq bahawa DAP orang suruhan Zahid 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia Muda (Muda) Sabah dilihat tidak sependapat dengan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan dakwaan DAP sebagai ‘orang suruhan’ kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien Tze Tin berkata, beliau tidak bersetuju dengan gelaran tersebut kerana mengenali beberapa pemimpin DAP khususnya di negeri itu yang sangat baik. 

“Maaf Presiden, saya terpaksa untuk tidak bersetuju dengan nama panggilan itu. Saya secara peribadi kenal beberapa pemimpin DAP terutamanya di Sabah dan mereka pemimpin yang baik. 

“Setiap parti mempunyai sisi buruk dengan pandangan yang melampau termasuklah Muda dan kami sedang mengusahakannya. 

“Tetapi, dengan menyimpulkan DAP sebagai ‘lapdog’ itu bagi saya adalah salah. Tidak dinafikan bahawa kita semua kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Ahmad Zahid dan bagaimana Kerajaan Perpaduan menangani isu ini. 

“Marilah bersama membawa pembaharuan institusi yang lebih baik dan bersatu untuk tujuan ini. Saya percaya ini yang rakyat mahukan,” katanya dalam hantaran ringkas di aplikasi X, semalam. 

Syed Saddiq semalam dilaporkan mendakwa DAP sebagai hipokrit, gila kuasa, tiada prinsip dan ‘lapdog’ kepada Ahmad Zahid. 

Dakwaan itu dibuat susulan kenyataan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming yang menasihatkannya adalah lebih profesional untuk Ahli Parlimen Muar itu berbincang dengan kepimpinan kerajaan sebelum mengugut menilai semula sokongannya.

Muda baru-baru ini mengancam keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada pertuduhan rasuah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN