MP Tebrau henti kerjasama dengan ADUN Puteri Wangsa

Ahli Parlimen Tebrau henti kerjasama dengan ADUN Puteri Wangsa

JIMMY PUAH WEE TSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse membuat keputusan untuk menghentikan kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd. Aziz.

Menurut Wee Tse, keputusan tersebut dibuat selepas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abd. Rahman menghentikan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Semua sedia maklum tentang tindakan tidak mengenang budi Presiden MUDA yang juga Ahli Parlimen Muar membuat keputusan menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan.

“Reaksi kepada keputusan MUDA itu, di Johor, Pakatan Harapan (PH) melalui Ketua Pembangkang Dewan Negeri, Andrew Chen Kah Eng telah putuskan MUDA tidak lagi bersama blok pengimbang PH.

“Maka saya selaku Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan turut membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan ADUN Puteri Wangsa di Tebrau dan dalam masa terdekat akan menyusun gerak kerja penyelarasan di DUN Puteri Wangsa,” katanya kepada pemberita.

DUN Puteri Wangsa yang dimenangi Timbalan Presiden MUDA iaitu Amira Aisya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu terletak di bawah Parlimen Tebrau.

Tambah Wee Tse, keputusan diambilnya itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan beliau selaku Ahli Parlimen ekoran MUDA tidak memberikan sebarang nilai tambah buat PH.

“Hakikatnya MUDA wujud atau tidak, ada atau tiada di Malaysia, di Johor dan di Tebrau tidak memberi apa-apa makna kerana tiada beri nilai tambah kepada PH.

“Sebaliknya parti itu banyak menyusahkan dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang bertujuan menyerang Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Tambahnya lagi, MUDA sepatutnya muhasabah diri bahawa mereka memenangi satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN adalah dengan bantuan jentera, penyokong dan pengundi PH.

“Jika tidak, mereka tidak akan sesekali berpeluang memenangi kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa. PRN enam negeri juga membuktikan perkara ini apabila mereka hilang deposit di semua kerusi di mana mereka sanggup bertanding menentang PH di 19 kerusi.

“Tidak melampau untuk saya ibaratkan MUDA seperti kacang lupakan kulit,” jelasnya lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN