Merentasi 60 tahun penubuhan Tabung Haji

Merentasi 60 tahun penubuhan Tabung Haji

PENGUNJUNG tertarik melihat pameran sejarah 60 Tahun Lembaga Tabung Haji pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-60 lembaga tersebut di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semasa penubuhannya pada 1963, Lembaga Tabung Haji (TH) yang pada ketika itu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) hanya mempunyai 1,281 pendeposit dalam kalangan umat Islam di negara ini dengan tabungan sebanyak RM46,610.

Bagaimanapun, merentasi 60 tahun penubuhannya, TH yang mula dijenamakan semula pada 1995, sehingga kini sudah mempunyai hampir sembilan juta pendeposit dengan jumlah tabungan sedia ada melebihi RM89 bilion.

Tidak mahu berpuas hati dengan angka tersebut, TH menyasarkan 50 peratus daripada 18 juta umat Islam di Malaysia membuka akaun TH berbanding 45 peratus yang dicatatkan ketika ini menjelang tahun 2024.

Bertitik tolak hasil daripada cetusan idea Profesor Diraja, Allahyarham Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, TH sehingga kini menguruskan 1.5 juta jemaah bagi menunaikan haji dengan membelanjakan RM2.5 bilion dalam bentuk Bantuan Kewangan Haji bagi meringkankan beban bakal haji di negara sejak 2001.

KAKITANGAN Lembaga Tabung Haji menunjukkan cenderahati bertemakan Ulang Tahun Ke-60 Tabung Haji pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Sepanjang 60 tahun bertapak, TH mengagihkan keuntungan berjumlah lebih RM40 bilion kepada pendepositnya.

Lebih membanggakan, TH juga dijadikan ‘kiblat’ oleh negara-negara Islam untuk menubuhkan institusi kewangan bagi menguruskan jemaah haji masing-masing mengikut acuannya tersediri.

TH diuruskan tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) dan perintis dalam institusi kewangan Islam bagi memudahkan umat Islam menabung bagi tujuan mengerjakan haji.

Oleh demikian, TH diberi tanggungjawab menguruskan pelbagai kemudahan selain mengendalikan perjalanan pergi balik jemaah haji negara secara komprehensif dan sistematik.

Selain pengurusan haji, TH juga aktif menceburi bidang seperti pelaburan hartanah, perladangan, kewangan Islam dan hospitaliti di dalam serta luar negara bertujuan memberi nilai tambah kepada agihan keuntungan atau dividen kepada pendepositnya setiap tahun.

Di Malaysia, TH memiliki 18 menara, 33 pejabat, 64 rumah kedai, enam kompleks, empat kediaman, empat kilang, empat hospital, tiga pasar raya besar dan 10 tanah.

Selain itu, TH turut membuat pelaburan hartanah di luar negara termasuk di United Kingdom (UK), Australia dan Arab Saudi.

Antara aset TH di luar negara ialah Ibu Pejabat Centrica Global di UK, 10 Queen Street Place (UK), Unilever House (UK), Chilworth Lancaster Gate London (UK), Imperial Hurstville (Australia), Menara Hajar (Arab Saudi), Hotel Al-Haram (Arab Saudi), Hotel Al-Saha (Arab Saudi), Hotel Rawda Ajyad (Arab Saudi), Hotel Rayyana (Arab Saudi) dan Hotel Al-Aqiq (Arab Saudi).

Penglibatan TH dalam Sektor Kewangan Islam adalah melalui syarikat bersekutunya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMKB).

Selain itu, TH juga menyertai pelaburan di sektor perladangan menerusi TH Plantations Berhad dan memiliki kawasan perladangan seluas 100,967 hektar di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Pelaburan yang diusahakan TH tidak hanya menguntungkan agensi tersebut dan kakitangannya sahaja, sebaliknya organisasi itu berkongsi hasil keuntungan melalui agihan dividen setiap tahun kepada pendepositnya berdasarkan prestasi tahunannya.

Mengikut rekod, TH pernah mengagihkan dividen dengan jumlah tertinggi selama empat tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1994 sehingga 1997 sebanyak 9.5 peratus kepada pendeposit.

Jumlah terendah pernah diagihkan TH kepada pendepositnya adalah sebanyak 1.25 peratus pada tahun 2018, manakala tiga tahun sejak 2020 TH mengagihkan dividen sebanyak 3.10 peratus.

Selain membantu merealisasikan hasrat umat Islam melaksanakan rukun Islam kelima, TH sebagai sebuah organisasi Islam prihatin, setiap tahun tanpa gagal mengeluarkan zakat ke pusat-pusat zakat di 14 negeri seluruh negara pada suku tahunan pertama.

TH juga turut melaksanakan program membuat pembayaran zakat secara terus kepada asnaf yang layak di seluruh negara melalui pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Zakat seperti Ehsan, Iqra, Mobiliti dan Ikhtiar.

Sepanjang 60 tahun menunaikan tanggungjawabnya sebagai badan yang menguruskan umat Islam menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah, TH mengecap pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara termasuk dipilih sebagai negara perintis untuk melaksanakan Program Pra Pelepasan Imigresen Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Ogos 2017.

TH menubuhkan Yayasan TH yang bertujuan menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang antaranya memberikan bantuan atau sumbangan berikutan kejadian musibah dan bencana alam.

Ia juga untuk mentadbir dan menguruskan dengan berkesan serta bersistematik dana diperuntukkan oleh TH dan anak syarikat bagi tujuan biasiswa kepada anak-anak anggota, anggota di anak syarikat TH dan pesara TH yang layak serta program atau kegiatan berkaitan pendidikan serta menggalakkan kajian dalam bidang pendidikan Islam, perbankan Islam, perubatan dan lain-lain cabang perundangan syariah.

Keberkesanan TH dalam melaksanakan tanggungjawabnya mendapat perhatian apabila menerima Anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) di Bangkok, Thailand pada 2016.

Pada tahun sama, TH menerima Anugerah Institusi Paling Cemerlang bagi sumbangan terhadap kewangan Islam pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur.

TH juga memenangi Anugerah Majikan Pilihan dalam kalangan siswazah bagi kategori Syarikat Berkaitan Kerajaan 2017 di ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers Awards Night 2017’ yang berlangsung di ibu negara pada tahun 2017. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×