Melaka benarkan permohonan pajakan tanah di Empangan

Melaka benarkan permohonan pajakan tanah di Empangan Durian Tunggal

NGWE Hee Sem mengadakan sidang akhbar sewaktu lawatan di Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kira-kira 1,000 petani di kawasan berhampiran Empangan Durian Tunggal kini boleh memohon pelanjutan tempoh pajakan tanah di kawasan berkenaan selepas ditangguhkan selama tiga tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem berkata, dasar baharu yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 13 September lalu membolehkan petani membuat permohonan.

Menurutnya, sebelum ini, kalangan pekebun kecil berhampiran empangan berkenaan merungut apabila kerajaan negeri tidak membenarkan pelanjutan tempoh pajakan tanah pada 2020.

“Kerajaan negeri sebelum ini menolak semua permohonan lanjutan pajakan khususnya kawasan pertanian termasuk Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang berhampiran zon penampan sejauh 500 meter.

“Saya ucap terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kerana kerajaan negeri meluluskan dasar baharu peluasan zon penampan daripada 500 meter kepada 200 meter,” ujarnya kepada pemberita membuat tinjauan sekitar Empangan Durian Tunggal dan lawatan Masjid Lama Machap di sini hari ini.

Hee Sem yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerajaan negeri membenarkan permohonan lanjut tempoh pajakan tanah melalui prosedur penyerahan keseluruhan tanah dan pemilikan semula di bawah Seksyen 197 dan 76 Kanun Tanah Negara 1965.

Menurutnya, permohonan hanya dibenarkan bagi kawasan tanah dalam kawasan 101 sehingga 200 meter dari tanah rezab empangan.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 90A, Seksyen 197 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, kawasan dalam jarak 500 meter tidak boleh dibangunkan kerana dibimbangi mendatangkan pencemaran air.

Jelasnya, kerajaan negeri terpaksa mengehadkan permohonan pajakan daripada 500 meter kepada 200 meter bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem kawasan tadahan air di empangan ini yang merupakan kawasan sensitif alam sekitar tahap satu (KSAS1).

“Tetapi, apabila kerajaan negeri memberi kelonggaran baharu ini, ia memberi nafas baharu kepada petani untuk mengusahakan tanaman mereka tetapi dengan bersyarat,” ujarnya.

Katanya, merujuk kepada Rancangan Struktur Negeri Melaka 2035, aktiviti yang dibenarkan di kawasan KSAS1 adalah terhad kepada aktiviti pelancongan alam semula jadi, penyelidikan dan pendidikan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN