LENGGONG: Seorang lelaki warga asing ditemukan mati dalam keadaan mayatnya terbakar di dalam kebun pisang di Kampung Pengkalan Ikan, Kuak di sini kelmarin.
Mayat lelaki dipercayai warga Bangladesh itu ditemukan orang awam rentung terbakar sebelum memaklumkan kepada polis pada pukul 11.35 malam.
Difahamkan, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring kira-kira 10 meter dari rumah pekerja.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis telah ke lokasi kejadian dan menemui mayat lelaki dalam keadaan rentung keseluruhan badan.
Katanya, mayat berkenaan kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul.
“Siasatan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan dan memburu suspek yang terlibat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Asisten Superintenden Ridzuan Ab. Aziz ditalian 019-9533358,” katanya. – UTUSAN









