PETALING JAYA: Malaysia memuji usaha kerajaan Arab Saudi yang komited dalam menyelesaikan konflik di Yemen.
Menurut kenyataan Wisma Putra, Arab Saudi dikatakan mahu memastikan keamanan kekal dicapai di negara berkenaan.
Sehubungan itu, delegasi dari Sana’a, Yemen akan dijemput ke negara berkenaan dalam misi mencapai keamanan kekal serta penyelesaian politik yang mapan di antara semua pihak yang terlibat.
“Malaysia memuji kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi pada 14 September lalu yang mahu menyelesaikan konflik di Yemen,” kata kenyataan tersebut.
Tambah Wisma Putra, Malaysia turut memuji usaha yang diketuai oleh Kerajaan Arab Saudi, Kesultanan Oman dan Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahu menamatkan krisis di negara itu.
Katanya, hal ini akan menyumbang ke arah keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.
“Malaysia juga akan kekal bersolidariti dengan rakyat Yemen dan akan terus menyokong semua usaha ke arah penyelesaian yang berkekalan dan aman bagi konflik itu,” tambah kenyataan berkenaan. -UTUSAN