PETALING JAYA: Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mengemukakan pencalonan Ketua Angkatan Muda (AMK) bagi sesi pemilihan PKR kali ini.
Setakat pukul 2.30 petang tadi, belum ada mana-mana individu lain yang mencabar jawatan itu yang disandang oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli itu.
Sebelum ini, Timbalan Ketua AMK itu menawarkan diri bertanding jawatan tersebut bagi memperkukuh sayap PKR, selain proses ‘regenerasi’ bermula daripada akar umbi.
Menurutnya, sebagai sebuah parti yang meraikan demokrasi, sesiapa sahaja yang layak boleh menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan PKR.
Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), AMK Pusat dan Wanita Pusat akan berakhir pada pukul 11.59 malam ini.
Kongres Nasional 2025 dijadualkan berlangsung pada 24 Mei ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru (Persada).
Kongres Nasional akan berlangsung secara fizikal dengan kehadiran lebih 10,000 perwakilan dari seluruh negara, manakala lebih 20,000 perwakilan akan terlibat dalam proses pemilihan secara dalam talian.
Sementara itu, Kongres AMK dan Wanita PKR akan diadakan pada 22 Mei, manakala pemilihan pusat dijadualkan pada 23 Mei. – UTUSAN










