Malaysia jadi hab transit pengedaran kokain

Malaysia jadi hab transit pengedaran kokain

KAMARUDIN MD. DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kartel dadah antarabangsa terutamanya dari Amerika Latin dikesan menjadikan Malaysia sebagai hab transit pengedaran dadah jenis kokain bagi meneroka pasaran baharu di negara-negara Asia Pasifik terutama Thailand, Australia, New Zealand dan Jepun.

Keadaan ini kerana perniagaan kokain memberi pulangan yang boleh mencecah 10 kali ganda lebih tinggi berbanding dadah lain selain permintaannya semakin menjadi ‘kegilaan’ kalangan penagih dadah golongan mewah.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, walau bagaimanapun permintaan untuk dadah kokain di Malaysia masih di tahap minimum kerana faktor harga pasaran yang tinggi.

“Kebanyakan pengguna dadah kokain di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia adalah terdiri daripada golongan kaya dan ternama,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata beliau, sistem infrastruktur dan pembangunan sistem hubungan komunikasi seperti sistem jalan raya yang baik menjadikan negara ini sering dijadikan sebagai negara transit sebelum bekalan dadah dibawa ke pasaran antarabangsa.

Pada masa yang sama, kata beliau,saiz perairan yang begitu luas memudahkan sindiket penyeludupan dadah untuk membawa masuk dadah melalui jalan laut yang bersambung hingga ke kawasan Segitiga Emas.

“Faktor sempadan Malaysia-Thailand yang diliputi hutan tebal, bergunung-ganang serta keluasan sempadan yang luas menyebabkan sindiket penyeludupan dadah mudah membawa masuk dadah ke Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa ekoran rampasan dadah jenis 3,4 Methylenedioxymenthamphetamine (MDMA) bernilai RM32 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang, Selangor pada 29 Ogos lalu.

Ini adalah kejayaan kedua berturut-turut selepas jabatan itu menggagalkan satu penyeludupan dadah jenis Ketamine seberat 20.14 kilogram di Pusat Mel dan Kurier KLIA, bernilai RM1.208 juta pada 28 Ogos 2023.

Rampasan terbaharu ini menjadikan keseluruhan kes sebanyak 75 kes rampasan dadah dilaporkan di KLIA bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Ia membabitkan nilai kira-kira RM45.39 juta iaitu masing-masing 72 kes melalui rampasan kurier, penumpang (dua kes) dan eksport (satu kes).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, sepasukan anggota Kastam daripada cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menyita 36 kotak di Kompleks Kargo Udara, KLIA.

Katanya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai sebanyak 12 kotak mengandungi bungkusan plastik lutsinar pelbagai warna dan bentuk pil ekstasi yang mengandungi dadah jenis MDMA dengan berat kasar 436.2 kilogram.

“Pemeriksaan ke atas baki 24 kotak pula menjumpai batu-bata. Modus operandi sindiket ini bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai ‘tools’ (perkakas) sedangkan di dalamnya terdapat kotak yang mengandungi dadah berbahaya dan batu bata,” jelasnya.

ZAZULI Johan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di Kompleks Kargo, KLIA pada 29 Ogos lalu dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai, Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Zazali menambah, siasatan awal mendapati dagangan tersebut diimport dari sebuah negara di Eropah dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.

“Hasil risikan mendapati pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan yang menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut.

“Bagaimanapun, siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek dibawah seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Jelas Zazali lagi, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 2.18 juta orang penagih dadah. Ia juga direkodkan sebagai rampasan terbesar daripada lima rampasan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×