Lelaki OKU rentung, 189 penghuni rumah panjang Julau hilang

Lelaki OKU rentung, 189 penghuni rumah panjang Julau hilang tempat tinggal

KEADAAN 36 pintu rumah panjang Micheal yang musnah dalam insiden kebakaran pada petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JULAU: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam satu insiden kebakaran rumah panjang di Rumah Micheal Marau, Sungai Sejugam, Nanga Lasi, di sini petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor telah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4:26 petang semalam.

“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bergegas berusaha memadamkan api dengan menggunakan sumber air terbuka iaitu dari sungai berhampiran.

“Kebakaran yang berlaku sekitar jam 4:20 petang semalam itu telah memusnahkan 100 peratus rumah panjang Micheal yang mempunyai 36 pintu, mengakibatkan kesemua 189 orang penghuninya hilang tempat tinggal.

“Selepas selesai memadam kebakaran terbabit, didapati seorang mangsa OKU telah terperangkap dalam sebuah pintu rumah panjang yang dijumpai dalam keadaan rentung di bahagian ruang bilik beliau,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, hasil pemeriksaan susulan dilakukan oleh anggota bomba mendapati seorang wanita turut mengalami kecederaan melecur di bahagian badannya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan tersebut telah dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Kebakaran dipercayai bermula dari salah satu bilik di bahagian tengah rumah panjang tersebut. Ia disedari oleh beberapa penghuni selepas ternampak kepulan asap tebal sebelum mengarahkan penghuni lain untuk keluar menyelamatkan diri.” ujarnya.

Mangsa yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran terbabkt dikenali sebagai August Pasang, 49 tahun ditemui di pintu No.33 rumah panjang terbabit pada jam 5.30 petang.

“Operasi pemadaman api dan pemeriksaan dilokasi kejadian ditamatkan sekitar jam 9:45 malam tadi.

“Jumlah anggaran kerugian kini masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya