PETALING JAYA : Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran empat kenderaan di tempat letak kereta pangsapuri Desa Mentari di sini, awal pagi tadi.
Mayat lelaki berusia 67 tahun itu ditemukan dalam sebuah daripada kenderaan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.45 pagi.
Menurutnya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Penchala tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.
“Kebakaran membabitkan kereta Ford Telestar yang terbakar 100 peratus, Naza Citra terbakar 50 peratus, Proton Wira (lima peratus) dan sebuah lori Daihatsu (lima peratus).
“Terdapat seorang lelaki berusia 67 tahun yang berada di dalam kereta Naza Citra rentung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, punca kebakaran masih dalam siasatan. -UTUSAN










