TAWAU: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun terhadap seorang lelaki atas kesalahan mengugut hendak membakar rumah bekas isterinya, di sini hari ini.
Majistret, Don Stiwin Malanjun menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Paizal Muhamad Ali, 33, setelah tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan menakutkan secara jenayah seorang wanita pada Jumaat lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita iaitu bekas isterinya dengan menyimbah minyak diesel dan mengatakan akan membakar rumah diduduki wanita berkenaan pada pukul 9.30 malam, 22 September lalu di Kampung Membalua, Jalan Apas, di sini.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, bekas suami pengadu iaitu tertuduh telah datang ke rumah wanita tersebut dalam keadaan marah lalu, bertindak menyimbah diesel pada bahagian tepi tingkap rumah bekas isterinya.
Punca kejadian disebabkan tertuduh tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anak bongsu mereka. Ia menyebabkan tertuduh berang hingga melakukan ugutan untuk membakar rumah bekas isterinya.
Susulan laporan polis yang dibuat, tertuduh ditangkap pada pukul 10.30 pagi pada keesokan harinya (23 September).
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superitenden Nur Intan Jamrin. –UTUSAN