PETALING JAYA: Pembangkang mengingatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak menjadi ‘budak suruhan’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyekat kebebasan media di negara ini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kebebasan media Malaysia menuju ke arah kegelapan jika tindakan itu berterusan.
“Saya lihat budaya ugut-mengugut terhadap portal-portal berita semakin menjadi-jadi di bawah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil. Bukan setakat ugut, tapi hingga ada kacau ganggu dalam editorial.
“Apabila membaca laporan MalaysiaNow, saya yang berada dalam Dewan Rakyat sewaktu situasi itu berlaku dan berpendapat laporan portal itu mencerminkan suasana sebenar peristiwa yang dilaporkan.
“Ugutan SKMM seolah-olah mahu memaksa media menyiarkan laporan palsu pula.
“Saya tidak terkejut dengan langkah drakonian kerajaan ini. Sudah menjadi amalan di banyak negara diktator, apabila seseorang diktator itu gagal mentadbir dan gagal menjaga kebajikan rakyat, dia akan menyalahguna kuasa untuk menutup mulut para pengkritiknya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, SKMM dilaporkan memberi masa dua jam untuk meminda atau menurunkan laporan portal berita tempatan bertajuk “Blok PN keluar, ‘Tambun peliwat’ bergema di Dewan Rakyat selepas PM serang Radzi” dan terjemahan bahasa Inggeris bertajuk “Pandemonium, walkout after PM refuses to retract accusation against Putrajaya MP”.
SKMM dilaporkan berkata, artikel-artikel itu tidak menggambarkan konteks yang benar dan tajuk rencana Bahasa Malaysia ‘tidak sopan, penghinaan atau jelik’.
Portal berita itu mendakwa e-mel daripada SKMM menuntut portal itu membuang laporan beritanya. Kelewatan portal berkenaan bertindak bakal berdepan dengan ‘tindakan penguatkuasaan lanjut’ yang ditulis oleh ‘Jabatan Analisis Kandungan’ SKMM.
Bagaimanapun, portal tersebut tidak mempedulikan percubaan penapisan oleh SKMM malah tidak akan tunduk kepada tekanan dalam kewartawanan.
Sebelum ini, Fahmi dilaporkan mengakui SKMM telah mengambil tindakan terhadap beberapa laman web berita.
Beliau berhujah bahawa tindakan itu perlu untuk menangani berita fitnah atau palsu sambil mempertahankan kewartawanan yang sah.
Pada Selasa lalu, kekecohan berlaku di antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat apabila Anwar menyentuh isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayahnya. – UTUSAN