Labuan tercicir daripada KSP RMK12?

Labuan tercicir daripada KSP RMK12?

ANIFAH AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wilayah Persekutuan Labuan didakwa tercicir daripada Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan oleh pihak kerajaan.

Senator Dewan Negara, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau berasa kecewa dan baginya Labuan sepatutnya diberi lebih perhatian dan peruntukan daripada pihak kerajaan.

Menurutnya, rakyat Labuan masih lagi berdepan dengan masalah kemudahan yang kritikal terutamanya daripada segi bekalan elektrik dan air.

“Sekiranya masalah ini gagal ditangani dengan sempurna, adalah sukar untuk kita hendak menarik orang luar berniaga di Labuan dan seterusnya menjadikan Labuan sebagai destinasi pilihan para pelabur asing.

“Kita tahu bahawa hanya dengan kemasukan pelaburan asing, ekonomi akan dapat berkembang pesat dan mencipta peluang pekerjaan selain menjadi economic spin-offs yang akan menjana aliran tunai dan akan memanfaatkan penduduk Labuan,” katanya dalam persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Dewan Rakyat meluluskan usul KSP RMK12 dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM415 bilion.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undian suara ahli Dewan Rakyat lebih ramai yang bersetuju.

Mengulas lanjut, Anifah berkata, tanpa infrastruktur dan keperluan asas yang lengkap, mustahil untuk rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan dan akhirnya gagal mencapai apa dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu menoktahkan kemiskinan tegar.

“Di Sabah, terutama di kawasan bandar, Kerajaan Persekutuan seharusnya memberi lebih banyak peruntukan kepada kerajaan negeri untuk pembangunan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah. Masalah kekurangan rumah mampu milik di kawasan urban Sabah memerlukan tindakan segera.

“Saya juga ingin mengulangi permintaan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya untuk memasukkan tiga pakej tambahan bagi melengkapkan Jaringan Pan Borneo iaitu Pakej 6A Persimpangan Lokawi-Kinarut, Pakej 15A Jalan Pesisir Tawau dan Pakej 27A Libaran Bypass,” katanya.

Tambahnya, isu-isu yang dihadapi oleh Sabah dan Labuan bukan perkara baharu tetapi sudah lama menjadi keluhan rakyat daripada media sosial sehingga ke kedai kopi, namun masih lagi diselesaikan.

“Adakah semua ini masih lagi akan menjadi isu yang diulang semasa pembentangan RMK Ke-13 kelak?

“Harapan saya adalah isu ini tidak diulang Kembali dan diselesaikan sepenuhnya dalam RMK12 ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN