JELEBU: Moina sp. ataupun disebut sebagai kutu air merupakan sejenis makanan hidup yang menjadi makanan awalan buat benih ikan atau udang khususnya yang diternak oleh pengusaha akuakultur termasuk di negara ini.
Bagi meningkatkan industri akuakultur di negara ini, pihak Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Glami Lemi di sini membangunkan teknologi penternakan kutu air ini secara intensif dan higenik.
Usaha yang telah dijalankan sejak tahun 2016 itu juga adalah bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada Artemia spp. atau brine shrimp import yang sejak sekian lama dijadikan makanan kepada ikan yang diternak oleh pengusaha-pengusaha di negara ini.
Pegawai Penyelidik IPP Glami Lemi, Hanan Mohd. Yusof berkata, ekoran kebergantungan terhadap Artemia spp. menyebabkan permintaan terhadapnya adalah tinggi sekali gus menyebabkan harganya turut meningkat.
Keadaan tersebut juga secara tidak langsung telah meningkatkan kos operasi penguasaha penetasan dan benih ikan di negara ini.
“Selama ini mereka menggunakan Artemia yang diimport dari luar negara khususnya dari Amerika Syarikat, harganya sekarang sudah meningkat mencecah sehingga RM500 bagi setiap tin 425 gram.
“Oleh itu Moina sp. atau kutu air ini merupakan alternatif malah penghasilannya dapat mengurangkan kos penternakan sehingga 60 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Hanan dalam pada itu memberitahu, teknologi penternakan secara intensif dan higenik yang dijalankan itu juga adalah bagi mengatasi isu amalan perolehan kutu air liar yang sering didapati dari sumber tidak bersih seperti kolam kumbahan dan parit-parit kotor.
“Moina sp. semula jadi ini mendatangkan penyakit kepada benih ikan, sekali gus merencatkan pengeluaran benih ikan di pusat pembiakan.
“Oleh itu, Moina higenik sememangnya sesuai dijadikan makanan kepada benih ikan dan udang kerana ia bersih dan bebas daripada risiko bawaan penyakit seperti patogen,” jelasnya lagi. -UTUSAN









