KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas kosmetik dan kopi tiruan yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran pemilik cap dagang dalam dua serbuan di Pasir Mas dan Kuala Krai dekat sini semalam.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sitaan kosmetik berkenaan membabitkan krim, toner, serum dan sachet kopi pracampuran membabitkan nilai berjumlah RM 8387.55.
Menurutnya, serbuan itu dilakukan selepas KPDN Kelantan menerima aduan daripada oleh wakil pemilik cap dagang.
“Serbuan ini dilakukan melalui pengaduan oleh wakil pemilik cap dagang serta hasil daripada pemantauan dan risikan pengaduan daripada pihak kami selama seminggu.
“Pemeriksaan lanjut ke atas premis berkenaan mendapati kosmetik yang disyaki melanggar penggunakan cap dagangan berdaftar,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.
Katanya, jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barang manakala individu atau perseorangan didenda tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.
“Kita akan terus melaksanakan pemantauan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran dari pemilik cap dagangan berdaftar
“Kami memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang dengan niat melakukan aktiviti tidak bermoral ini supaya menghentikannya segera dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini,” ujarnya. -UTUSAN










