JOHOR BAHRU: Pelaksanaan konsep ladang kontrak bagi penanaman nanas MD2 yang dijalankan oleh 20 belia di Pekoti Timur, Rompin, Pahang mampu membuka peluang kepada golongan itu menjana pendapatan lumayan pada masa hadapan.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, peserta terlibat akan menerima latihan mengenai penanaman itu di tanah seluas 250 ekar selain diberi pinjaman lebih RM200,000 untuk setiap pusingan tanaman.
Katanya, peserta terlibat mengikuti program selama dua tahun dan diberikan tanah seluas dua hektar seorang untuk diusahakan selama tempoh enam tahun.
“Peserta terima latihan secara terus yang bersifat ‘real on ground training’ daripada pihak Aqina dan melalui pengalaman sebenar menguruskan sulur atau benih, mengendalikan proses pembajaan, merawat tanah dan sebagainya.
“Hasilnya, nanas MD2 yang berkualiti tinggi berjaya dikeluarkan,” katanya pada majlis flag-off Nanas MD2 Malaysia ke Jepun yang diadakan, baru-baru ini.
Tambah beliau, peserta terlibat turut dibantu menyelesaikan beberapa hutang peribadi seperti hutang Pinjaman Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN), pinjaman kenderaan dan lain-lain hasil daripada pendapatan bulanan yang mencecah RM4,000 sebulan.
“Pendekatan konsep ini bukan sahaja dapat memberi peluang untuk golongan belia menjana pendapatan lumayan, tetapi, turut mempersiapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan dalam usaha meningkatkan kapasiti diri khususnya ketika berdepan situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.
“Bagi saya, inilah konsep kerjasama awam dan swasta yang mesti diterapkan dalam sektor pertanian di Malaysia. Sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, saya akan memastikan kerjasama erat ini dapat diperkasa agar limpahan ekonomi dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.
“Benar, entiti bisnes boleh membuat keuntungan, tetapi ia mestilah berkongsi tanggungjawab bagi membantu menambahkan juga pendapatan rakyat,” jelasnya lanjut.-UTUSAN










