Keterangan 20 individu terbabit Himpunan Aman Selamatkan Malaysia diambil esok - Utusan Malaysia

Keterangan 20 individu terbabit Himpunan Aman Selamatkan Malaysia diambil esok

PESERTA Himpunan Selamatkan Malaysia berarak dari Kampung Bharu sehingga ke Pusat Beli-Belah Sogo. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengesahkan seramai 20 individu yang terbabit dalam Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang diadakan di ibu negara semalam akan dipanggil polis untuk dirakam keterangan esok.

Katanya, beliau dan yang lain diminta hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 10 pagi untuk proses rakam keterangan.

“Saya bersama beberapa individu lain termasuk mereka yang berucap pada perhimpunan, semalam dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Insya-Allah saya akan hadir ke IPD Dang Wangi esok namun difahamkan beberapa individu lain mungkin tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain, maka mereka akan hadir pada satu tarikh lain,” katanya di sini.

Semalam, kira-kira 1,000 peserta perhimpunan berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baharu sebelum berarak dengan berjalan kaki ke kompleks beli-belah Sogo.

Perarakan bermula pukul 1.50 petang diketuai Tun Faisal dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.

Perhimpunan berakhir kira-kira pukul 3.30 petang dengan peserta menyanyikan lagu Negaraku serta mengaminkan bacaan doa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dalam sidang akhbar semalam berkata, himpunan itu didapati tidak mematuhi undang-undang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan meneliti beberapa perkara sebelum mengambil tindakan susulan berhubung himpunan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN