Kes paling lama menunggu bicara: Mohd. Irwan tertekan

Kes paling lama menunggu bicara: Mohd. Irwan tertekan

MOHD. IRWAN SERIGAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah merupakan kes paling lama menunggu untuk dibicarakan.

Kes itu memasuki tahun kelima hari ini sejak kedua-dua lelaki itu didakwa di mahkamah dan hanya akan dibicarakan bermula Jun 2024.

“Kes ini paling lama dalam sejak sejarah untuk mula dibicarakan, sudah tertangguh selama lima tahun. Kes hanya akan mula dibicarakan tahun hadapan dan mungkin tahun 2026 pun, kes masih belum selesai.

“Anak guam saya tidak boleh ke luar negara sejak lima tahun lalu, terpaksa menanggung kesengsaraan dan tekanan selama lima tahun. Perkembangan kerjayanya juga terbantut walaupun lulus peperiksaan (perundangan),” kata peguam bela, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan.

Sehubungan itu, beliau memohon agar mahkamah menetapkan tarikh bicara lebih awal sekitar Januari atau Februari 2024.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan kes itu akan mula dibicarakan pada 4 Jun 2024.

Sementara itu, peguam terbabit ketika ditemui selepas tamat prosiding sekali lagi menyatakan sepanjang beliau beramal dalam bidang perundangan sejak 50 tahun lalu, kes Mohd. Irwan itu merupakan kes paling lama dan mengambil masa untuk mula dibicarakan.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Najib dan Mohd. Irwan masing-masing didakwa bersama atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan melakukan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM1.2 bilion dan RM655 juta.

Pertuduhan ketiga, Najib dan Mohd. Irwan yang diama­nahkan ke atas harta sejumlah RM220 juta iaitu peruntukan di bawah Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB) milik kerajaan.

Bagi pertuduhan keempat, mereka dalam jawatan yang sama di­amanahkan dengan penguasaan ke atas harta RM1.3 bilion peruntukan di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Akti­viti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai milik kerajaan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka juga diamanahkan de­ngan penguasaan ke atas harta sejumlah RM1.26 bilion dan RM2 bilion milik kerajaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya