KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, akan disiapkan dalam masa seminggu.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk dinilai.
Kata beliau, sama ada dituduh atau tidak bergantung kepada penilaian pihak AGC terhadap kertas siasatan itu.
“Prosedur operasi standard (SOP) PDRM dalam menguruskan kes berkaitan 3R (agama, raja, bangsa) ini tidak melebihi daripada tujuh hari.
“Tugas polis adalah untuk menyiapkan kertas siasatan dan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar i Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, pada pagi tadi Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah selesai mengambil keterangan Abdul Hadi di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai proses mengambil keterangan itu, Ayob Khan berkata, hanya lima daripada 24 soalan yang diajukan polis dijawab oleh Abdul Hadi dan selebihnya akan dijawab mahkamah nanti.
Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Dalam perkembangan berasingan, Ayob Khan berkata, siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja pula terdapat beberapa kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan.
Sebelum ini, PDRM mengesahkan telah menjalanlam siasatan terhadap Dr Mahathir yang membuat kenyataan berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja yang disiarkan MGNews pada 6 Jun lalu.-UTUSAN