CYBERJAYA: Kerajaan akan terus menyokong usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan syarikat tempatan dan pemula bagi mendorong mereka meraih kejayaan lebih besar sekali gus diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu termasuk menyokong penginovasi tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan di rantau ASEAN.
Katanya, pada masa yang sama pihak industri juga mesti berusaha mencari jalan penyelesaian menurunkan kos, menjadi lebih cekap dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sudah tiba masanya kita julang dan bimbing inovator tempatan menempa nama di pasaran serantau dan merebut segala peluang yang ada di luar sana.
“Kita mahu mengangkat semula darjat dan martabat negara Malaysia, untuk menjadi sebuah negara yang inovatif, maju dan lestari dengan masyarakat yang cakna dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan,” katanya dalam ucapan perasmian penutup InnoEx 2023 di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovatif, Chang Lih Kang.
Anwar berkata, pada masa sama kerajaan juga akan memudah cara industri untuk membawa masuk pelaburan melalui teknologi automasi, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin bagi meningkatkan produktiviti.
Pada masa sama katanya, industri pusat data perlu punyai keupayaan untuk beralih kepada tenaga hijau bagi menggalakkan lebih banyak pihak mengambil inisiatif lestari dan seterusnya meneutralkan pelepasan karbon.
“Selain itu, industri automotif pula perlu menjadi antara penyumbang utama kepada hasrat kita untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih,” katanya.
Anwar berkata, Cyberjaya kini dikenali sebagai lokasi pilihan pelaburan teknologi dengan tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan digital kreatif.
Katanya, antara syarikat multinasional tempatan yang bertapak di Cyberjaya termasuk syarikat penyelesaian dron nombor satu dunia, Aerodyne Technologies dan Hematogenix iaitu syarikat dari Amerika Syarikat yang menubuhkan Pusat Makmal Onkologi di seluruh Asia Pasifik.
Katanya, Cyberjaya turut menjadi tumpuan penggiat seni animasi dan digital kreatif tempatan seperti Monsta Studios selain ibu pejabat serantau bagi jenama kenderaan elektrik, Tesla.
Dalam pada itu kata Anwar, Cyberview juga berjaya menarik pelaburan pusat data dan destinasi terkemuka di Asia Tenggara untuk pelaburan pusat data global.
Dalam perkembangan sama Anwar berkata, Cyberjaya juga membimbing lebih 400 syarikat pemula, seperti Campfyre, Laundrydone, Beebotic, ERTH dan Kumpool.
“Selain itu, beberapa syarikat pemula kini menerokai pasaran global dan diiktiraf melalui pelbagai anugerah dan pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa termasuk Monsta Studios, Wau Animation, BillPlz, Supagene, dan IX Telecom,” katanya. – UTUSAN










