PETALING JAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) belum memperincikan sebarang bilangan atau jumlah permohonan pengambilan pekerja asing yang akan diluluskan bagi tiga sektor melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas.
Menterinya, V.Sivakumar berkata, perkara itu akan ditentukan dalam mesyuarat Kabinet yang akan diadakan Jumaat ini.
“Kita tidak bincang (lagi), perincian akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet nanti (Jumaat).
“Kalau ada perkara-perkara lebih terpierinci, saya akan umumkan,” katanya selepas diminta mengulas mengenai jumlah permohonan yang diluluskan bagi tiga sektor berkenaan.
Semalam, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu yang sebelum ini dibekukan.
Menurut Anwar, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini kerana ia melibatkan keperluan segera.
Sivakumar sebelum ini berkata, jumlah tenaga kerja asing yang diperlukan untuk sektor melibatkan kedai gunting, tekstil dan kedai emas itu adalah kira-kira 15,000 orang.
Terdahulu, Sivakumar hari ini melancarkan Indeks Latihan Nasional (NTI) yang merupakan inisiatif hasil kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan badan perwakilan yang meliputi kerajaan, golongan akademik, organisasi penyelidikan dan pakar industri.
Ia mengukur tahap keaktifan latihan dan aktiviti dalam kalangan industri di Malaysia termasuk majikan, sektor ekonomi dan subsektor.
NTI juga akan menyediakan cadangan kepada badan berkenaan tentang cara untuk meningkatkan aktiviti latihan dalam industri masing-masing.-UTUSAN










